Isu tanah punca ada klinik kesihatan tidak dibina sejak 44 tahun lalu
KOTA KINABALU - Jabatan atau agensi di bawah kerajaan negeri dan Persekutuan digesa untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit berkaitan pembinaan fasiliti terutama membabitkan perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Sabah.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib berkata, tahun ini kementeriannya lebih menumpukan kepada mengurangkan isu berbangkit termasuk masalah membabitkan tanah untuk pembinaan klinik dan hospital di Sabah.
"Contohnya di Langkon, Kota Marudu, lebih 10 tahun projek tidak dapat dibina klinik kesihatan. Masalahnya sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak memberi laluan untuk dibina jalan, bukan jauhpun 200 meter saja tetapi memakan masa bertahun-tahun tidak dapat dilaksanakan klinik itu sedangkan masalah itu kecil saja.
"Menteri masuk campur baru-baru ini barulah selesai, bukan saja diberi laluan tetapi GLC itu memberikan kerjasama dengan memberikan tapak hampir 10 ekar (4.04 hektar) tanah tepi jalan, lagi bagus daripada tapak lama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kes lain contohnya di Mansiad, Sook membabitkan satu bidang tapak tanah dimohon sejak tahun 1979 iaitu 44 tahun lalu tetapi sehingga kini geran belum keluar. Bukankah ini masalah, bila kita bising dalam mesyuarat baru kelam kabut pegawai periksa dan sekali dilihat baru draf geran, permohonan tanah sudah dibuat sejak 1979 tetapi sehingga kini belum lagi diluluskan. Tidak tahu ke mana sudah permohonan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam di bawah kementeriannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Isnin.
Tambah beliau lagi, isu berbangkit membabitkan tanah perlu diberi perhatian yang serius oleh semua pihak terutama agensi atau jabatan di bawah kerajaan negeri.
"Bagaimana kita mahu maju, ini betul-betul buat sakit kepala dan yang menyedihkan isu 44 tahun lalu masih belum selesai dan Alhamdulillah kita cuba selesaikan beberapa masalah tanah yang lain dengan begitu mudah.
"Saya sebagai penghubung antara Persekutuan dan negeri, kita berjaya selesaikan isu 23 klinik dan hospital yang tidak dapat dilaksanakan sejak 2009, Alhamdulillah sudah ada cahaya untuk diselesaikan isu tanah satu persatu," katanya.
James dalam pada itu turut memberi amaran keras kepada pegawai kerajaan yang enggan memberi kerjasama dalam melancarkan agenda pembangunan di Sabah.
"Jika ada peruntukan dari Persekutuan, saya minta agensi Sabah memberikan kerjasama, beri sambutan yang baik supaya projek itu dapat dilaksanakan dengan kadar segera dan peruntukan itu tidak ditarik balik.
"Kalau ditarik balik, susah lagi kita mohon. Jadi kita minta supaya kurangkan birokrasi untuk dapat dipermudahkan oleh jabatan atau agensi di Sabah bagi mengelak klinik tidak dapat disiapkan berpuluh tahun.
"Ini saya tekankan di sini, percepatkan jangan lengahkan lagi. Jadi saya minta pegawai-pegawai yang tidak memberi kerjasama itu saya akan bawa ke Kabinet dan tukar mereka ini. Jangan bagi kekalkan jawatan mereka duduk sekarang sekiranya mereka ingkar tidak melaksanakan tugas dengan baik," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!