'Industri bas ekspres hanya bertahan 10 bulan, jika kerajaan tak campur tangan'
KOTA BHARU - Industri bas ekspres di negara ini berkemungkinan besar hanya mampu bertahan sekurang-kurangnya 10 bulan sahaja jika kerajaan tidak campur tangan dalam membantu penyedia perkhidmatan.
Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA), Laili Ismail berkata, campur tangan itu membabitkan penguatkuasaan kategori dan spesifikasi perkhidmatan bas ekspres.
"Ia melibatkan kategori ekonomi yang menawarkan tempat duduk 2 2 tanpa baris tempat duduk tunggal. Kategori eksekutif pula menawarkan tempat duduk 2 1 dengan satu baris tempat duduk tunggal.
"Bila peraturan ini tidak dikuatkuasakan, pemain industri berdepan dengan persaingan apabila ada syarikat yang menawarkan harga ekonomi menggunakan bas eksekutif.
"Keadaan itu memberikan kesan tidak baik kepada kami yang sedang berdepan dengan pelbagai peningkatan kos-kos lain ketika ini seperti harga badan bas, casis, bahan api dan sebagainya," katanya semasa sidang akhbar di Pejabat Urusan Ekspres Perdana di Teluk Mesira di sini pada Isnin.
Menurut beliau, sehubungan dengan itu PEMBAWA bersama Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) telah menghantar memorandum kepada Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 21 Disember lalu.
Ujarnya, memorandum itu menggesa supaya kerajaan campur tangan dalam penetapan kategori dan spesifikasi bas ekspres.
Laili memberitahu, jika tuntutan diterima ia bakal memanjangkan lagi jangka hayat pengendali perkhidmatan bas ekspres di negara ini.
"Cadangan ini bersifat 'menang-menang' dimana rakyat dapat menggunakan perkhidmatan bas ekpres mengikut pilihan masing-masing. Pada masa sama, pengusaha dapat meneruskan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.
"Pandemik Covid-19 dua tahun lalu memberikan kesan yang buruk kepada kami dalam sektor ini. Walaupun operasi sudah kembali pulih, namun kami berdepan dengan peningkatan kos dalam penyediaan perkhidmatan.
"Lebih memburukkan lagi keadaan, ada dalam kalangan pemain industri masih belum dapat beroperasi kesan pandemik tersebut," katanya.
Menurut Laili, PEMBAWA dan PMBOA amat berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan itu bagi memastikan bas ekspres terus beroperasi untuk kemudahan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!