Pelajar Tingkatan Lima maut, motosikal langgar lori
ALOR SETAR - Seorang pelajar berusia 17 tahun maut di tempat kejadian selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah lori di Kampung Dalam Kota, Jalan Teluk, Mukim Lepai dekat sini pada pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, Pejabat Pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 9.55 pagi.
Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Khairi Razin Basirrah merupakan pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Darul Aman, Jitra maut akibat kecederaan parah di badan.
"Hasil siasatan awal mendapati arah pergerakan motosikal itu dari simpang sebelah kiri (Jalan Kampung Dalam Kota) ke arah Bukit Pinang manakala lori jenis Hino pula dari arah Bukit Pinang ke arah Langgar.
"Kemalangan dipercayai berlaku semasa lori terbabit sedang bergerak lurus dan pada waktu sama, motosikal mangsa keluar dari simpang sebelah kiri dan melintas di hadapan lori terbabit secara mengejut menyebabkan pemandu lori tidak sempat mengelak dan berlaku perlanggaran," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ahmad Shukri berkata, siasatan masih diteruskan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, mangsa terbabit beralamat di Kampung Keriang, Mukim Lepai manakala pemandu lori berusia 48 tahun itu pula beralamat di Jitra namun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujar beliau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!