Sabah miskin, mundur sebab salah 'step'
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib berkata, situasi yang dialami Sabah hanya dapat dilihat kesannya pada hari ini.
"Kenapa Sabah ini miskin, kenapa Sabah ini mundur? Barulah terjawab hari ini, kenapa kita tidak maju kerana perjalanan kita pertama sudah salah. Kenapa perjalanan kita salah, daripada zaman dulu sudah salah, salah 'step'.
"Kenapa salah step, kerana politik kita sentiasa berubah, bila bertukar-tukar kerajaan, tersalah pemimpin, tersalah memimpin. Dia kata dia tidak bagus, turun lagi (pemimpin), naik lagi (pemimpin lain), padahal semua tidak bagus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat kepada penjawat awam di bawah kementeriannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu, di sini pada Isnin.
Bagaimanapun, James berkata, kerajaan yang memimpin Sabah ketika ini berada di landasan yang betul.
"Saya tengok kerajaan dan kepimpinan yang terbaik adalah pimpinan dan kerajaan yang ada pada hari ini.
"Kerana kita ada Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) dan juga barisan menteri kabinet Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang baharu," katanya.
Sebelum itu, beliau menyampaikan amanatnya kepada lebih 1,000 penjawat awam di bawah kementeriannya termasuk daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!