Lima tahun Al-Sultan Abdullah payungi Malaysia
SHAH ALAM- Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjaya mengangkat kewibawaan institusi raja sepanjang lima tahun bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia.
Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, ia dapat dilihat dengan peranan yang dimainkan sewaktu negara berdepan dengan pelbagai cabaran, terutamanya ketidakstabilan politik dan kesihatan awam dalam dua tahun terakhir pemerintahan baginda.
Menurutnya, sebelum ini kebanyakan rakyat mengambil mudah peranan institusi raja dan hanya menganggapnya sebagai satu simbolik kepada kedaulatan negara.
“Tuanku menzahirkan kebijaksanaan dan kebitaraan baginda untuk mendepani pelbagai isu. Contohnya, apabila berlaku ketidakstabilan politik dengan perubahan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri yang baharu beberapa kali.
“Kebijaksanaan Kebawah Duli telah memperlihatkan bagaimana baginda menggembleng peruntukan undang-undang dengan sewajarnya tanpa mengambil kira kesan yang negatif terhadap kedudukan institusi beraja itu sendiri.
“Sehingga akhirnya kita tahu kebijaksanaan Tuanku telah mendatangkan kestabilan politik dan seterusnya menzahirkan kedudukan kerajaan semasa, dinamakan sebagai Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam Wawancara Ekslusif bersama Sinar Harian, baru-baru ini.
Jelas Shamrahayu, kesinambungan sistem Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen ini memberikan kerahmatan kepada rakyat Malaysia, di mana kerajaan atau pemerintah yang dipilih rakyat telah membolehkan baginda membuat keputuan yang terbaik untuk rakyat dan negara.
Semasa pandemik Covid-19 katanya, Al-Sultan Al-Sultan Abdullah telah mengambil beberapa tindakan seperti pengisytiharkan darurat di beberapa kawasan bagi mengelakkan jangkitan merebak.
Pada masa yang sama, ada ketika baginda pernah menolak cadangan kerajaan untuk pengisytiharkan darurat.
“Baginda fikir pada ketika itu, kita tidak memerlukan keadaan darurat bagi menangani Covid-19, jadi apa yang saya kongsikan pemerhatian saya ialah kebijaksanaan baginda dalam mengendalikan urusan negara.
“Keduanya, dalam menangani hubungan antara Raja Berperlembagaan dengan Demokrasi Berparlimen, bukan setakat mendengar untuk menurut nasihat. Tuanku mengambil inisiatif membuat keputusan yang baik untuk rakyat,” ujar beliau.
Tambah Shamrahayu, walaupun Malaysia mempunyai dua sistem yang mempunyai tugas masing-masing, namun ia kelihatan serasi semasa pemerintahan baginda.
Ia juga menunjukkan bagaimana kebijaksanaan institusi beraja itu juga amat didambarkan dan diperlukan rakyat supaya tidak terbawa-bawa dengan kehendak mereka yang dalam kuasa politik.
Peranan Perdana Menteri menasihati Agong
Menceritakan tentang peranan Perdana Menteri dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong, beliau menjelaskan, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberi nasihat yang baik dan disampaikan kepada baginda.
Bagaimanapun ujarnya, Seri Paduka mempunyai hak untuk meminta kerajaan membuktikan bahawa nasihat berkenaan sebenarnya betul dan ia hanya untuk kepentingan negara.
Jelasnya, dalam Perkara 40 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan ada menyatakan bahawa apabila Agong menerima nasihat, baginda masih lagi berhak untuk meminta maklumat berkaitan negara yang ada dalam pengetahuan jemaah menteri.
“Ia menunjukkan Seri Paduka akan ‘verify’ dahulu apabila menerima nasihat untuk mendapat penerangan yang lebih lanjut.
“Contoh terbaik yang menunjukkan kebijaksanaan Tuanku adalah sewaktu memanggil ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk bertanyakan terus tentang sokongan terhadap Perdana Menteri,” katanya.
Selain itu, baginda menangani ketidakstabilan politik dan pertukaran kerajaan dengan memahami sistem perundangan negara yang meletakkan kuasa kepada baginda dan hak kepada pemimpin yang dipilih oleh rakyat melalui demokrasi.
Beliau menambah, dalam konteks pelantikan Perdana Menteri, peruntukan Perkara 40 dalam Fasal (2A) Perlembagaan Persekutuan adalah mengikut kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Ia bermaksud Seri Paduka tidak bertindak atas nasihat sesiapapun, bahkan baginda tidak disyaratkan dalam undang undang untuk mendengar nasihat Raja-raja Melayu yang lain.
Bagaimanapun, Seri Paduka mengambil keputusan untuk bermusyawarah memanggil Raja-raja Melayu yang lain berangkat ke Istana Negara untuk membincangkan hal negara.
Tindakan ini katanya, menunjukkan Al-Sultan Abdullah menggemblengkan undang undang yang ada tanpa meminggirkan amalan atau adat yang dilakukan oleh Raja-raja Melayu terdahulu.
“Kelunakkan yang dilakukan, maksudnya walaupun ia tidak dinyatakan secara harfiah dalam Perlembangaan seperti menitahkan Raja-raja yang lain untuk bermusyawarah, tetapi ini sebenarnya tidak juga dihalang oleh Perlembagaan.
“Bukan semata-mata terus melihat hitam putih perundangan itu, tetapi baginda telah melihat warna-warna yang lain dalam Perlembangaan yang boleh diselit atau diamalkan terutamanya tentang adat istiadat dan adab seorang pemimpin semasa membuat keputusan,” katanya.
Sosok raja berjiwa rakyat
Ditanya tentang sosok Al-Sultan Abdullah sendiri, Shamrahayu menyimpulkan bahawa baginda adalah seorang Raja yang berjiwa rakyat.
Paling menyerlah katanya, program Jelajah Borneo yang pertama kali dibuat menunjukkan frasa raja dan rakyat berpisah tiada telah dizahirkan dengan perbuatan baginda sendiri dan keluarga diraja.
“Kita lihat dalam salah satu video yang menunjukkan Raja Permaisuri Agong menitiskan air mata apabila tidak dapat bersua dengan rakyat kerana cuaca dan sebagainya.
“Beginilah maknanya penzahiran perasaan baginda yang telah menautkan rasa cinta antara rakyat dan raja,” ujar beliau.
Sebagai golongan profesional yang beberapa kali menghadap Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Shamrahayu turut berkongsi kekagumannya terhadap keperibadian baginda berdua.
Tunku Azizah katanya, memasak sendiri hidangan untuk tetamu membuatkan hatinya cukup tersentuh dengan kerendahan hati baginda.
“Seri Paduka pula, walaupun bertanya soalan tentang perundangan dan sebagainya, baginda menghormati pandangan kita walaupun mempunyai penasihat lain atau pandangan daripada orang lain,” jelasnya.
Institusi beraja jadi semak dan imbang
Shamrahayu menambah, Yang di-Pertuan Agong adalah salah satu kompenan dalam Parlimen dan mempunyai kuasa eksekutif, sebagaimana peruntukan Perkara 39 Perlembagaan Persekutuaan.
Justeru katanya, kuasa yang ada pada baginda boleh diterjemahkan dengan menyemak dan mengimbangi keputusan yang dibuat oleh pihak eksekutif yang lain atau jemaah menteri.
Cabaran yang dihadapi Al-Sultan Abdullah cukup hebat kerana situasi yang dihadapi baginda tidak pernah berlaku di peringkat Persekutuan sebelum ini.
“Seri Paduka berjaya menonjolkan bagaimana semak dan imbang itu boleh menyebabkan kestabilan. Contohnya, baginda menetapkan bahawa dalam keadaan darurat, tidak ada Parlimen yang boleh bersidang.
“Pada ketika itu, ia menjadi satu kecaman kepada institusi beraja. Saya bimbang rakyat akan menyalahkan Tuanku tetapi terbukti baginda telah dapat mengawal keadaan,” ujar beliau.
Jelas Shamrahayu, disebabkan kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah itu, baginda telah menetapkan dan menunjukkan jalan yang terbaik untuk negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!