Kenaikan tarif air, Kerajaan Perak belum putuskan

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan kenaikan tarif air tidak akan membebankan rakyat sekiranya dilaksanakan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu masih di peringkat rundingan serta kajian dan tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini.

Menurutnya, perancangan oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli itu adalah untuk menetapkan keseragaman tarif air di seluruh negara.

"Saya telah diberi taklimat oleh Pengurusan Aset Air Berhad lebih dua bulan lalu, bagaimana keperluan untuk diseragamkan tarif air di seluruh negara sebenarnya.

"Namun, keputusan kenaikan tarif air ini akhirnya nanti akan kita buat melalui keputusan kerajaan negeri dan kita akan pertimbangkan segala perkara sebelum ianya dibuat," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Katanya, jika tarif dinaikkan, kerajaan negeri akan memastikan golongan yang memerlukan akan diberi pembelaan.

Pada masa sama, kajian yang dijalankan itu perlu bagi melihat kesan kenaikan tarif air itu kepada penggunaan domestik mahupun industri.

"Sesetengah industri ada kenaikan yang nak diseragamkan dan kita sedang mencari keseimbangan agar ia tidak terlalu menekankan industri itu hingga menjejaskan pelaburan ke negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga dengan penggunaan domestik agar tidak terbeban, sekolah dan masjid perlu dikategorikan dengan betul. Itu antara perkara yang perlu kita lihat," katanya.

Katanya, sudah sampai masa rakyat mengamalkan penjimatan air dan kerajaan negeri komited melaksanakan dengan meletakkan logo 'save water' pada jersi bola sepak negeri.

"Kenaikan itu kerana ia adalah keperluan dan bukan semata-mata menyusahkan rakyat. Kita perlu mendidik rakyat supaya lebih menghargai nilai air.

"Sama seperti pengumuman berkenaan logo berhenti merokok di jersi pasukan, kita akan meletakkan logo 'save water'. Selain itu, Lembaga Air Perak diminta mendekati rakyat memberi penerangan menerusi saluran radio PerakFM," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!