Kekangan bajet, Intan Ladyana 'tapau' tiga tugas

TETAP cantik... Intan Ladyana kini sarat hamil anak kedua. Foto SINAR HARIAN - ROSLI TALIB
TETAP cantik... Intan Ladyana kini sarat hamil anak kedua. Foto SINAR HARIAN - ROSLI TALIB
A
A
A

UMUM pastinya mengenali wanita cantik ini sebagai pelakon berkaliber, terutamanya di arena perfileman.

Tidak mahu terus berada di takuk sama, Intan Ladyana memberanikan diri untuk menerbitkan filem pertama menerusi syarikat produksi miliknya, Prisma Pictures Sdn Bhd yang ditubuhkan pada tahun 2018.

Pada tahun sama, bermodalkan idea daripada novel seram terlaris terbitan Buku Prima, Banglo Seksyen 12 hasil karya Hasrudi Jawawi, Intan mencuba nasib mendapatkan Dana Kandungan Digital (DKD) yang disalurkan Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas).

Tuah menyebelahi pemilik nama penuh Intan Nurladyana Mohamat Yahaya itu apabila terpilih antara 10 produksi yang layak menerima dana sebanyak RM500,000 di bawah program inkubator yang dikelolakan Finas pada tahun 2018.

“Saya nak buat sesuatu diinspirasikan daripada novel dan saya pilih genre ini sebab memang daripada dulu lagi saya kerap berlakon cerita aksi atau seram. Jadi, ia memang sesuai dengan jiwa saya.

"Sewaktu mahu meminta DKD, pihak Finas minta bentangkan idea filem dan saya terfikirkan novel Hasrudi Jawawi iaitu Banglo Seksyen 12 kerana kisah ini hangat diperkatakan," katanya.

Novel Banglo Seksyen 12 karya Hasrudi Jawawi menjadi pilihan Intan untuk dijadikan inspirasi dalam filem pertama terbitan dan arahannya. Foto SINAR HARIAN - ROSLI TALIB
Novel Banglo Seksyen 12 karya Hasrudi Jawawi menjadi pilihan Intan untuk dijadikan inspirasi dalam filem pertama terbitan dan arahannya. Foto SINAR HARIAN - ROSLI TALIB

Artikel Berkaitan:

Intan berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Banglo Seksyen 12 di GSC Lalaport BBCC pada Selasa lalu.

Bagaimanapun jelas wanita berusia 41 tahun itu, perjalanan menghasilkan filem ini tidak mudah kerana mereka berdepan beberapa cabaran besar yang mendorong beliau melakukan beberapa rombakan jalan cerita Banglo Seksyen 12.

"Kalau ikutkan perjalanan asal novel, filem ini mengisahkan siasatan Inspektor Hairy menyelesaikan kes kematian, tetapi kami sukar untuk kerjasama daripada beberapa pihak.

"Jadi kami rombak tiga kali skrip dengan persetujuan Hasrudi.

"Penggambaran filem ini sepatutnya bermula sekitar akhir tahun 2020 tetapi PKP 2.0 (Perintah Kawalan Pergerakan kali kedua) pun bermula. Jadi penggambaran hanya bersambung selepas itu," jelasnya.

Bukan itu sahaja, dengan kekangan bajet yang diterima, Intan mengakui terpaksa menggalas lebih daripada satu tanggungjawab berbanding perancangan asal.

Intan bersama barisan pelakon utama Banglo Seksyen 12. Foto SINAR HARIAN - ROSLI TALIB
Intan bersama barisan pelakon utama Banglo Seksyen 12. Foto SINAR HARIAN - ROSLI TALIB

Malah bintang utama Jangan Pandang Belakang itu menganggap penglibatannya sebagai pengarah bersama dan pelakon utama filem itu sebagai bidang terjun.

"Pada asalnya, saya mahukan orang lain yang melaksanakan kedua-dua tanggungjawab tersebut.

"Bagaimanapun disebabkan kekangan bajet, saya tidak dapat apa yang dimahukan. Kemudian abang Long (Aziz M Osman) cadangkan saya sendiri menyandang tugas tersebut.

"Berbekalkan pengalaman dan seliaan daripada beliau, saya memberanikan diri untuk duduk di kerusi pengarah bersama Dharma Nasution.

"Kemudian saya juga gagal dapatkan pelakon yang membawakan watak Saliha, maka saya terpaksa pilih diri sendiri. Kiranya mengarah dan berlakon ini bidang terjun, bukan saya syok sendiri untuk buat semua," ujarnya.

Banglo Seksyen 12 berkisar tentang pembunuhan misteri sekumpulan remaja pada 2006 di sebuah banglo yang kemudian menjadi lokasi kegemaran kumpulan paranormal untuk membuat penggambaran sebagai kandungan di platform digital mereka.

Selain Intan, filem itu turut dibintangi Mustaqim Bahadon, Hariz Hamdan, Silfeny Osman, Aniq Suhair, Faez Malek, Farah Yasmin dan Faris Fitri.

Rahsia jantina

Harris dan Intan kini menanti kelahiran cahaya mata kedua mereka.
Harris dan Intan kini menanti kelahiran cahaya mata kedua mereka.

Sementara itu, berkongsi perihal kehamilan keduanya yang sudah memasuki enam bulan, Intan mengakui berdepan dengan alahan yang lebih teruk berbanding ketika mengandungkan anak sulungnya, Evie Khadeeja.

Bukan itu sahaja, disebabkan jarak kehamilan yang rapat, beliau juga perlu memberi perhatian kepada puteri sulungnya yang berusia dua tahun itu.

"Anak saya tidak boleh berenggang. Dulu kalau penat boleh terus rehat, sekarang kena pastikan anak tidur baru boleh tidur.

"Setakat ini saya dah tahu jantina, tetapi biarlah rahsia dahulu. Tunggu pengumuman jantina kelak," katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Intan mendirikan rumah tangga dengan Harris Alif, 24, yang merupakan seorang pelakon, pengacara dan penyanyi pada 5 Februari 2021.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!