Junjung kasih pesanan Permaisuri Agong namakan puteri sulung ‘Azizah’

Nur Fatin Syakilla dalam catatan di Facebooknya, berkongsikan kenangan pertemuan dengan pasangan diraja serta berita kelahiran anak perempuannya. - Gambar/ FB Nur Fatin Syakila Baddu
Nur Fatin Syakilla dalam catatan di Facebooknya, berkongsikan kenangan pertemuan dengan pasangan diraja serta berita kelahiran anak perempuannya. - Gambar/ FB Nur Fatin Syakila Baddu
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Jika bayi itu perempuan, berikan namanya Azizah, jika lelaki berikan namanya Abdullah."

Itu pesanan ringkas Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada pasangan suami isteri, Hasri Omar dan Nur Fatin Syakila Baddu, sewaktu Hasri mendapatkan tandatangan pasangan diraja itu ketika Kembara Kenali Borneo pada September 2023.

Empat bulan kemudian, Nur Fatin Syakilla dalam catatan terbaharu di Facebooknya, berkongsikan kegembiraan mereka apabila menyambut puteri sulung mereka pada 9 Januari lepas, yang diberi nama Azizah Yumna Azzahra Hasri.

"Masya-ALLAH...Tabarakallah. Assalamualaikum. Alhamdulillah syukur Ya ALLAH, selamat melahirkan 'little AZIZAH' setelah berperang di labour room dan akhirnya ke OT room pada 9 Januari 2024.

“Sempena penamatan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkuat kuasa esok (30 Januari 2024) setelah genap lima tahun, patik dan keluarga kecil patik Menjunjung Kasih atas perkenan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memberi nama 'AZIZAH' untuk puteri sulung kami semasa Kembara Kenali Borneo pada September 2023.

“Semoga YDPA dan RPA serta keluarga senantiasa diberikan kebahagiaan, kesihatan yang baik serta berpanjangan dan kemakmuran,” menurut kakitangan kerajaan itu di laman Facebooknya.

Mengimbas kembali video berdurasi 30 saat itu, kelihatan Hasri dengan penuh perasaan teruja cuba mendapatkan tandatangan pasangan diraja tersebut, sambil memberitahu isterinya sedang mengandung.

Ketika ditanya jantina bakal bayi mereka, Hasri berkata: "Masih belum tahu". Lantas dijawab Raja Permaisuri Agong: “Perempuan Azizah, lelaki Abdullah”. - Awani

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!