Perwatakan Tuanku sama seperti Almarhum Sultan Ahmad Shah
SHAH ALAM - Sikap mesra, rendah diri dan tidak sombong antara perwatakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang amat disenangi oleh rakyat.
Walaupun Seri Paduka Baginda dibesarkan dengan protokol istana, namun ia tidak menghalang Al-Sultan Abdullah mendekati rakyat jelata dan menyantuni mereka.
Perkara itu turut diakui oleh rakan sekelas baginda, Zoolkefely Mohd Lazim, 67, yang menggambarkan keperibadian tersebut terserlah sejak mereka bersama-sama mendapat pendidikan di Sekolah St Thomas, Kuantan.
Menurut pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB), perwatakan mesra rakyat baginda itu masih kekal sehingga memegang tampuk kepimpinan negara sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Tuanku sangat mesra, rendah diri dan mudah bergaul dengan semua orang menyebabkan kita tidak takut dan kalau bercakap pun tidak menggunakan bahasa istana, dengan cikgu pun sama. Tuanku hormat semua orang.
“Perwatakan ini saling tidak tumpah seperti ayahanda Tuanku yang juga Sultan Pahang Kelima, Almarhum Sultan Ahmad Shah semasa hayatnya.
“Sekiranya Seri Paduka Baginda berada di Kuantan, selalunya Tuanku akan menyantuni rakyat penuh ramah sama sahaja seperti dulu dan jika rakyat Pahang memerlukan bantuan atau ditimpa musibah, baginda akan segera turun padang,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Hari ini merupakan hari terakhir Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong dan kembali berangkat pulang ke Pahang bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Selama lima tahun melaksanakan amanah besar, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kesyukuran kerana telah dianugerahkan taufik dan hidayah, kudrat, serta keafiatan daripada ALLAH SWT, dalam memayungi Malaysia mendepani pelbagai cabaran.
Mengulas lanjut, menurut Zoolkefely, walaupun hubungan persahabatan terputus sewaktu Seri Paduka Baginda berangkat ke London, namun mereka bertemu kembali menerusi kumpulan Whatsapp sekolah.
Ujarnya, antara kenangan yang tidak boleh dilupakan sehingga hari ini adalah, dia diundang bersama keluarga dan rakan-rakan sekolah ke sesi jamuan di Istana Negara, Kuala Lumpur.
“Pertama kali menjejakkan kaki ke Istana Negara tidak boleh dilupakan sampai bila-bila apabila Tuanku sambut kami dari luar, bawa ke dalam kemudian tunjuk persekitaran istana.
“Perasaan saya apabila Tuanku ingin pulang menerajui semula pentadbiran negeri, bukan saya sahaja tetapi seluruh rakyat Pahang turut mengucapkan selamat kembali kepada Tuanku,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!