'Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah sangat berjiwa rakyat'
SHAH ALAM - Rakyat Malaysia menzahirkan kegembiraan sepanjang berada di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kerana baginda berdua mempamerkan kepimpinan raja berjiwa rakyat.
Bahkan keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke Pahang hari ini selepas bersemayam di Istana Negara bermula 31 Januari 2019 sehingga hari ini sudah tentu akan dirindui oleh rakyat jelata.
Pensyarah Universiti Antarabangsa UNITAR, Nur Awatif Adawiyah, 28, berkata, sikap Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri yang sangat mesra membuatkan rakyat melihat baginda berdua sinonim dengan ungkapan 'raja dan rakyat berpisah tiada'.
Malah katanya, disebabkan karakter yang dipamerkan baginda berdua, rakyat sudah pasti teruja untuk bertentang mata dengan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah untuk melihat sendiri raja yang telah bertakhta di hati rakyat Malaysia.
“Sebelum ini kita sebagai rakyat kurang rapat dengan Yang di-Pertuan Agong, tetapi Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berbeza kerana sangat mesra rakyat, bukan sahaja secara berdepan malah di media sosial.
“Kita boleh lihat setiap kali ada majlis atau lawatan Yang di-Pertuan Agong, mesti rakyat teruja dan sanggup menunggu kehadiran Tuanku di lokasi,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang pesara, Abdul Rahman Hashim, 53, berpendapat, Al-Sultan Abdullah amat disenangi kerana sering turun padang dan melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh rakyat terutamanya ketika banjir.
“Saya amat bersyukur mendapat seorang raja sebagai pemerintah berjiwa rakyat. Saya ucapkan selamat maju jaya, panjang umur dan diberi kesihatan yang baik kepada Yang di-Pertuan Agong serta Permaisuri Agong. Selamat berangkat ke negeri Pahang,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengurus pengeluaran, S Satehiswaran, 34, berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai sifat rendah diri walaupun mempunyai status yang tinggi.
Malah katanya, Yang di-Pertuan Agong tidak pernah berasa segan untuk bergaul dengan rakyat tanpa mengira status.
“Tuanku sangat ramah apabila singgah di gerai-gerai tepi jalan dan menjamah jualan yang dijual tanpa rasa kekok. Begitu juga ketika bencana seperti banjir dan Covid-19. Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong turun padang bagi melihat sendiri keadaan rakyat,” tambahnya.
Turut berkongsi pandangan, Lo Tack Wai, 49, yang bekerja sendiri, berkata, dia berasa sangat bangga dengan perkhidmatan diberikan oleh Al-Sultan Abdullah sepanjang pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Menurutnya, Al-Sultan Abdullah telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik sehingga disenangi oleh rakyat pelbagai kaum dan dia berharap Seri Paduka Baginda dikurniakan kesihatan berpanjangan.
Sementara itu, Kamaruddin Mohd Radin, 73, berkata, biarpun tidak pernah bertentang mata dengan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah, tetapi dia menyedari baginda berdua merupakan pemerintah yang baik hati dan amat prihatin.
“Saya memang tak kenal rapat dengan Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri, namun rakan saya sering berkongsi cerita bahawa baginda berdua sangat prihatin dan cakna dengan keadaan sekeliling sejak zaman muda hingga kini.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Tuanku atas segala jasa baik selama lima tahun menjadi Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.
Seorang pekerja swasta, Haziqah Razali, 25, turut berpendapat bahawa suara rakyat sentiasa menjadi keutamaan Yang di-Pertuan Agong.
Sebab itulah katanya, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah akan dikenang walaupun perkhidmatan baginda berdua selaku Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong berakhir hari ini.
Nazreena Md Shahrudin Khan, 32, yang bekerja sendiri pula berkata, kemesraan dan celoteh Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dalam tempoh lima tahun ini sudah pasti akan dikenang oleh rakyat.
"Saya mendoakan baginda berdua sentiasa berada di bawah lindungan ALLAH," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!