Jangan takut dengan AI

Suara sumbang seolah-olah AI akan mengambil alih peranan manusia dalam bidang pekerjaan termasuklah amalan 'menutup pintu' untuk belajar ilmu baharu, menjadikan kemajuan teknologi selalu dipandang serong. Gambar hiasan - Foto 123rf
Suara sumbang seolah-olah AI akan mengambil alih peranan manusia dalam bidang pekerjaan termasuklah amalan 'menutup pintu' untuk belajar ilmu baharu, menjadikan kemajuan teknologi selalu dipandang serong. Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

BAGAIKAN sungai yang sentiasa mengalir, begitu juga dunia akan sentiasa berubah.

Sifirnya mudah, siapa yang tidak mengikut arus, maka ketinggalanlah di belakang.

Menerapkan nilai positif dalam diri untuk beradaptasi dengan perubahan, merupakan sebahagian daripada cabaran masa kini terutama ketika kemunculan pelbagai kemajuan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan atau AI.

Suara sumbang seolah-olah AI akan mengambil alih peranan manusia dalam bidang pekerjaan termasuklah amalan 'menutup pintu' untuk belajar ilmu baharu, menjadikan kemajuan teknologi selalu dipandang serong.

Di mana silapnya?

Manusia atau teknologi?

Inisitiatif kerajaan melancarkan program AI Untuk Rakyat diharap dapat mengikis mentaliti negatif seterusnya meningkatkan kefahaman dalam kalangan masyarakat berkaitan teknologi baharu ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara pada era 80-an pernah berhadapan dengan situasi sama dalam usaha mempopularkan penggunaan komputer.

Artikel Berkaitan:

Walau bagaimanapun, pendedahan mengikut segmen masyarakat berjaya mengatasi kebimbangan masyarakat akan kemajuan teknologi.

Dakwaan gelombang AI akan menimbulkan risiko keselamatan kepada pekerjaan dengan unjuran 40 peratus di seluruh dunia dalam tempoh dua tahun lagi, tidak perlu disambut dengan ketakutan.

Sebenarnya, ketika dunia luar sedang berlumba-lumba menguasai AI, masih belum terlambat untuk Malaysia 'bertatih' dalam memahamkan rakyat akan kepentingan beradaptasi dengan kehidupan era digital yang semakin pesat ini.

Dalam apa jua perkara, berfikiran positif sangat penting untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Hanya dengan bersikap progresif, baharulah masyarakat boleh menerima baik program dianjurkan kerajaan seperti AI Untuk Rakyat ini, seterusnya dapat menikmati ledakan kemajuan teknologi.

Memahami dan menerima AI sebagai alat untuk memajukan kehidupan, sebenarnya dapat membantu kita mengatasi ketakutan dan ketidakpastian yang mungkin timbul.

Masyarakat kita juga perlu sedar akan kepentingan berinovasi dan sentiasa mahu belajar.

Bermula dengan individu, mempelajari kemahiran baharu dalam kehidupan perlu diterapkan sebagai suatu keperluan untuk memberi nilai tambah kepada diri sendiri, seterusnya membolehkan kita bersaing dalam dunia yang semakin canggih.

Hakikatnya teknologi hanya alat, kita sebagai manusia perlu memandang lebih jauh ke hadapan bagaimana 'mengeksploitasi' kemajuan, bukannya mengalah sebelum berbuat apa-apa!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!