'Memandu sejauh 2,154km bukti kasih sayang baginda kepada rakyat'
SHAH ALAM - Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah mencemar duli memandu sejauh 2,154 kilometer (km) dalam Kembara Kenali Borneo membuktikan kasih sayang baginda yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat.
Tokoh Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, kembara selama 11 hari itu bukan sahaja bertujuan menyantuni penduduk tempatan malah turut melihat permasalahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan keselesaan rakyat terus terjamin.
“Tuanku dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah antara individu paling popular dalam negara selepas kita lihat sendiri sambutan penduduk di Sabah dan Sarawak cukup luar biasa.
“Sifat baginda yang peramah dengan rakyat menyebabkan orang ramai berasa bangga dan gembira melihat ketua negara bermesra dengan mereka.
“Kembara ini membuktikan rasa cinta dan sayang Tuanku kepada rakyat dan menjadi lambang perpaduan dalam negara kerana tidak mudah memandu di jalan raya yang jaraknya lebih 2,000km,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Menurut Alimuddin, Seri Paduka Baginda terus cemerlang memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah serta Sarawak termasuk kaum minoriti lain.
Jelasnya, walaupun terdapat peristiwa ketidaktentuan politik dalam negara, namun kebijaksanaan dan pengalaman yang luas, Al-Sultan Abdullah tenang menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.
“Pengalaman sebagai pemimpin membolehkan baginda menjalankan pemerintahan dengan lebih cemerlang.
“Sekalian rakyat menjunjung kasih dan mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Tuanku serta seluruh kaum keluarga‚” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!