Yang di-Pertuan Agong banyak beri sokongan, galakan - Tunku Azizah
KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH SWT kerana telah diberikan ruang bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerajui negara selama tempoh lima tahun.
Permaisuri Agong bertitah, meskipun sibuk dengan urusan pentadbiran negara, namun Yang di-Pertuan Agong antara insan yang banyak memberi sokongan dan galakan kepadanya terutama dari segi usaha menghidupkan kembali Tenun Pahang Diraja.
“Tuanku yang suruh kerana masa mula-mula awal saya kahwin dengan Tuanku, proses mendapatkan zuriat mengambil masa yang begitu lama.
“Jadi suatu hari, Tuanku datang dekat saya dan bertitah, ‘Saya rasa awak patut buat sesuatu tentang Tenun Pahang Diraja’. Saya kata okay.
“Kemudian saya pergi dan saya mula jatuh cinta dengan (pekerjaan) itu. Itulah bagaimana bermulanya perjalanan itu tetapi saya tidak dapat lakukan seorang diri tanpa kerajaan,” titah baginda.
Titah Permaisuri Agong lagi, kerajaan, kementerian dan pihak-pihak terlibat banyak membantu dalam usaha pembangunan institusi kraf tangan.
“Bukan saya seorang dalam (usaha) ini. Saya bersama-sama dengan pengarah-pengarah kraf tangan baik di Pahang atau Kuala Lumpur, kementerian banyak menolong saya untuk membangkitkan seni kraf negara dan juga kepada Jabatan Penjara Malaysia yang melantik saya sebagai penaung program pemulihan.
“Tetapi saya di situ bukan kerana sahaja mengambil (apa-apa), cuma ada di sana sahaja.
“Jadi di sini saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan dan kementerian (melibatkan) kraf tangan kerana banyak membantu saya membangunkan institusi, menolong dan mengajar saya macam mana nak meningkatkan lagi perusahaan tenun. Bukan sahaja tenun tetapi juga lain-lain,” titah Tunku Azizah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!