Arab Saudi tak pandang Korea Selatan sebelah mata
PENGENDALI Arab Saudi, Roberto Mancini tidak memandang rendah keupayaan Korea Selatan kendalian Jurgen Klinsmann apabila kedua-dua pasukan berentap di pusingan 16 terbaik Piala Asia awal pagi Rabu.
Malah, Mancini percaya Korea Selatan mampu menghadirkan ancaman biarpun telah melepaskan enam gol dalam tiga aksi Kumpulan E.
“Korea Selatan adalah pasukan yang sangat bagus. Hanya kerana mereka melepaskan enam gol dalam peringkat kumpulan itu tidak mengubah kekuatan sebenar mereka.
“Sejujurnya, Arab Saudi berdepan dengan antara pasukan terbaik dalam kejuaraan kali ini. Bukan sahaja penyerang mereka, seluruh pasukan juga bagus. Mereka mempunyai kepantasan dan kualiti dengan pengalaman pemain yang bermain di pentas bola sepak Eropah.
“Tetapi kami juga telah banyak meningkat sejak beberapa bulan lalu dan kami positif mampu menghasilkan keputusan positif berdepan mereka,” kata Mancini.
Korea Selatan mara ke pusingan 16 terbaik selepas muncul naib juara Kumpulan E manakala Arab Saudi pula berstatus juara Kumpulan F akan berentap di Stadium Education City.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!