Keberangkatan pulang yang dinantikan
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah selamat menyempurnakan tempoh pemerintahan memayungi negara selama lima tahun dan kembali semula ke singgahsana negeri Pahang.
Sepanjang pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong bermula tanggal 31 Januari 2019 lalu diwarnai dengan pelbagai cabaran, namun setiap kemelut yang melanda negara berjaya ditangani dengan penuh bijaksana.
Rakyat jelata seluruh negara pasti akan merindui pemerintahan Tuanku sebagai seorang raja berjiwa rakyat.
Ikuti wawancara khas Sinar Harian yang diketuai Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli; Pengarang Eksekutif, Azmi Tarmizi; Penolong Pengarang Berita, Mohd Fazli Zainul Abiddin dan Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang, Nik Amirulmumin Nik Min bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempena sambutan keberangkatan pulang Seri Paduka Baginda berdua ke bumi Pahang hari ini.
SINAR HARIAN: Tempoh lima tahun Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah memayungi negara tamat hari ini. Bagaimana persiapan Pahang bagi menyambut keberangkatan pulang Seri Paduka Baginda berdua?
WAN ROSDY: Rakyat Pahang sudah pasti menantikan kepulangan Seri Paduka Baginda berdua ke Negeri Pahang.
Justeru kerajaan negeri telah bersedia menyambut kepulangan Seri Paduka Baginda berdua termasuk Majlis Menyambut Keberangkatan Balik di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan, Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dan Karnival Rakyat Pahang 2024 di Dataran Sayangi Kuantan.
Al-Sultan Abdullah telah melalui cabaran besar sewaktu tempoh pemerintahan baginda apabila negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan ketidaktentuan politik sehingga menyaksikan empat Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal. Bagaimana Datuk Seri melihat kebijaksanaan Tuanku dalam menangani situasi itu?
Sepanjang tempoh pemerintahannya, kita dapat menyaksikan Tuanku dengan penuh kebijaksanaan berupaya membawa negara keluar daripada ancaman Covid-19 dan kemelut ketidaktentuan politik yang berpanjangan.
Antaranya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi bagi membantu rakyat yang terjejas sumber pendapatan malah di Pahang, kerajaan negeri turut memberi bantuan kepada golongan yang terjejas melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP).
Berhubung kemelut politik yang tidak berkesudahan sebelum ini, Tuanku menerusi sifat diplomasinya, berjaya menyelesaikan satu persatu 'perebutan kuasa politik' yang berlaku sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Selepas PRU15, dek kerana tiada satu pun blok politik yang bertanding mampu membentuk kerajaan, maka baginda telah menitahkan supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan bagi mengakhiri kemelut politik itu dan titah itu disambut 19 parti politik apabila bersetuju untuk bergabung bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.
Raja dan rakyat berpisah tiada. Pada hemat Datuk Seri sendiri, bagaimana institusi diraja memainkan peranannya dalam memastikan kemaslahatan rakyat?
Institusi diraja kedudukan paling tinggi di mana Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja berperanan penting dalam memastikan kestabilan politik, ekonomi serta sosial negara selain sebagai penjaga Perlembagaan Persekutuan, mempertahankan agama Islam, bahasa Melayu, keistimewaan orang Melayu dan hak kewarganegaraan orang bukan Melayu.
Kita dapat menyaksikan ketika kemelut politik melanda negara, pelbagai sistem perundangan yang tidak pernah diambil tahu sebelum ini dikeluarkan dan akhirnya jalan penyelesaian kepada masalah itu.
Justeru, sebagai rakyat, kita seharusnya menghormati dan menjunjung tinggi institusi diraja yang menjadi tunggak kepada kedaulatan negara ini yang dibina atas prinsip kedua Rukun Negara, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
Tahun lalu Pahang berjaya mencapai kutipan hasil mencecah RM1.1 bilion. Bagaimana Datuk Seri melihat peranan Tuanku dalam menggerakkan pentadbiran dan memacu ekonomi Pahang sehingga mencapai kutipan hasil seperti itu.
Tuanku sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan negeri termasuk berkaitan kutipan hasil negeri.
Pahang mempunyai kepelbagaian sumber. Jadi hasil yang dikutip patut lebih tinggi.
Sebab itu saya telah mengatur strategi dan menyusun langkah-langkah untuk meningkatkan hasil terutama dalam menguruskan ketirisan termasuk membendung kegiatan pencerobohan tanah kerajaan hingga mendatangkan kerugian kepada negeri.
Penceroboh sebelum ini seolah tidak gentar dengan kompaun yang dikenakan.
Sebab itu kerajaan negeri telah mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dengan menangkap dan terus didakwa di mahkamah.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah sentiasa menekankan agar kerajaan negeri memastikan projek pembangunan dan pelaburan antarabangsa di negeri ini dipantau sepenuhnya supaya ia memberi manfaat kepada rakyat tanpa membelakangkan alam sekitar. Apa pandangan Datuk Seri terhadap titah baginda itu?
Ya! Pemangku Raja Pahang sentiasa mengingatkan agar setiap projek pembangunan di Pahang perlu berlandaskan kepada konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG) malah Tuanku sendiri kerap berangkat ke program-program melibatkan alam sekitar di dalam dan luar negara.
Misalnya berkait pengekalan status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini oleh UNESCO, Tuanku begitu mengambil berat mengenai pemuliharaan dan pemeliharaan Tasik Chini sehingga pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan khazanah alam itu dijaga dengan sebaik-baiknya.
Selain itu atas komitmen mendalam Tuanku terhadap pemuliharaan Harimau Malaya, kerajaan negeri telah menubuhkan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah seluas 134,183 hektar di Hutan Simpan Gunung Aais, Hutan Simpan Gunung Aais Tambahan dan Hutan Simpan Tekai Tembeling di Jerantut bagi memelihara dan melindungi habitat semula jadi serta meningkatkan populasi harimau.
Kerajaan negeri juga telah berjaya mengekalkan kawasan berhutan seluas 2.04 juta hektar iaitu mewakili 57 peratus keluasan Negeri Pahang.
Di samping itu, Tuanku juga berkenan terhadap usaha kerajaan negeri menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Pahang bagi meningkatkan tadbir urus pengurusan kepelbagaian biodiversiti di negeri ini.
Isu banjir sentiasa mendapat perhatian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah. Susulan itu, projek tebatan banjir antara yang menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam menangani isu tersebut. Boleh Datuk Seri kongsikan perkembangan berkaitan empat projek tebatan banjir (RTB) dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) bernilai RM501 juta yang diluluskan untuk Pahang?
Mengenai PLSB Sungai Kuantan Fasa II melibatkan tiga pakej iaitu projek pembinaan ban pencegah banjir Sungai Belat dan kerja-kerja berkaitan (Pakej 1) dengan harga kontrak lebih RM99 juta. Projek yang dilaksanakan bermula 2018 itu telah siap sepenuhnya Jun tahun lalu.
Pakej 2 iaitu projek pembinaan ban pencegah banjir Sungai Pandan dan Sungai Kuantan di Bukit Rangın serta kerja-kerja berkaitan dengan kos lebih RM102 juta yang dimulakan September tahun lalu kini mencapai 1.01 peratus dan dijangka siap menjelang September 2025 manakala bagi Pakej 3: projek pembinaan ban pencegah banjir Sungai Kuantan di kawasan Kampung Cenderawasih dan kerja-kerja mempertingkatkan ban sedia ada di Sungai Isap dijangka siap Oktober 2027.
Bagi Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Semantan di Temerloh Fasa 1: RTB Sungai Semantan di bandar Mentakab berharga RM47.8 juta telah bermula Julai 2022 dan dijangka siap Julai tahun ini.
Saya menjunjung tinggi titah Tuanku yang mahu agar projek tebatan banjir di negeri ini dipandang serius, disegerakan dan tidak dipolitikkan.
Selain projek tebatan banjir, kerajaan negeri juga telah melaksanakan Projek Pasca Banjir melalui peruntukkan RM51.204 juta melibatkan 36 projek bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir yang sering berlaku setiap kali tibanya Monsun Timur Laut (MTL).
Sehingga kini, 30 projek telah siap dilaksanakan manakala baki enam projek masih dalam pelaksanaan.
Rakyat tersentuh apabila melihat Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sentiasa mencemar duli turun padang menyantuni mangsa-mangsa musibah di negeri ini. Dari kaca mata Datuk Seri, bagaimana melihat perwatakan ditonjolkan pasangan diraja ini?
Seri Paduka Baginda berdua amat mengambil berat dan mengutamakan kebajikan rakyat sebab itu saya sering kali ditanya tentang keadaan rakyat di negeri ini baik ketika kami bertemu secara bersemuka mahupun melalui telefon
Setiap kalı rakyat ditimpa musibah, Tuanku akan turun padang dan menyantuni mereka dengan sebaik-baiknya dan antara aktiviti wajib yang dilakukan oleh Tuanku di pusat pemindahan sementara (PPS) ialah menyediakan sendiri juadah untuk rakyat.
Sudah pastinya sifat mulia seperti ini menyebabkan rakyat jelata bertambah kasih dan sayang terhadap Tuanku.
Tuanku juga berkenan mengurniakan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'RASA) secara percuma kepada rakyat jelata yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana.
Sebanyak 196 unit rumah Ru'RASA telah dibina dengan peruntukan berjumlah RM17.97 juta untuk fasa 1 manakala untuk fasa 2, sebanyak 274 rumah dengan peruntukan RM25.03 juta akan dilaksanakan bermula tahun ini.
Kasih sayang ketua negara, raja berjiwa rakyat, sedia 'menyantuni' rakyat secara akrab dan tidak tertakluk kepada protokol menjadikan baginda sangat disanjungi dan dihormati. Datuk Seri sendiri mungkin ada pengalaman istimewa bersama Tuanku berdua?
Sebagai rakyat Malaysia dan Pahang khususnya sudah pastinya berasa bertuah memiliki seorang raja yang prihatin dan akrab dengan rakyat.
Jelas kita dapat lihat beberapa peristiwa di mana Tuanku spontan memberhentikan kenderaan dinaiki semata-mata untuk membeli makanan di gerai-gerai tepi jalan, makan di warung serta bertemu rakyat jelata.
Tuanku juga pernah turun dari kenderaan untuk membantu rakyat jelata yang ditimpa kemalangan jalan raya dan kerana sifat-sifat mulia inilah yang mendekatkan hubungan istana dengan rakyat jelata
Secara peribadi, pengalaman saya bersama dengan Tuanku cukup istimewa.
Mungkin Datuk Seri boleh senaraikan karakter atau peribadi Tuanku berdua yang disanjung dan akan dikenang.
Secara peribadinya, saya melihat Tuanku seorang yang penyayang, prihatin, tegas, bertoleransi, berwawasan, berfikiran jauh, positif, penyabar dan gemar bersukan.
Tuanku dan Permaisuri Agong akan mengakhiri tanggungjawab besar di Istana Negara hari ini. Mungkin Datuk Seri ada ucapan kepada baginda berdua yang akan kembali ke singgahsana di Pahang?
Patik merafak sembah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke sisi Tuanku Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang selamat menyempurnakan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dengan begitu gilang-gemilang sekali.
Patik yakın, sudah pasti ramai yang akan merindui pemerintahan Tuanku sepanjang lima tahun bermula pada 31 Januari 2019 dan berakhir pada hari ini.
Tuanku berdua menunjukkan ketinggian keperibadian mulia apabila sering kali menyantuni rakyat jelata ketika berangkat ke mana jua. Kecaknaan dan sikap ambil berat Tuanku terhadap hal ehwal rakyat dan negara ini amat bertepatan dengan slogan 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada'.
Selepas ini, Tuanku berdua akan kembali semula ke Pahang sebagai Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang.
Justeru patik yakin, saat inilah yang ditunggu-tunggu rakyat jelata untuk menumpang kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
Sesungguhnya, patik dan seluruh rakyat jelata berbilang kaum di negeri ini akan terus menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk bersama-sama membangunkan Pahang tercinta ini.
Patik yakin, atas pengalaman serta kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, pembangunan Negeri Pahang Darul Makmur ini akan dapat terus dipacu dengan lebih baik, mampan dan lestari.
Insya-ALLAH, Negeri Pahang Darul Makmur akan lebih aman, makmur dan sejahtera di bawah pemerintahan dan naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku
Daulat Tuanku, Dirgahayu Tuanku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!