'Diskaun tidak masuk akal!'

Orang ramai tidak melepaskan peluang memilih buku yang ditawarkan pada harga berbaloi.
Orang ramai tidak melepaskan peluang memilih buku yang ditawarkan pada harga berbaloi.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengunjung seolah-olah tidak percaya Jualan Gudang Karangkraf kali ini menawarkan tawaran diskaun yang ‘tidak masuk akal’.

Ameer Mustakim Roslan, 29, yang datang dari Setia Alam berkata, dia terkejut apabila melihat paparan harga dan diskaun buku yang ditawarkan.

“Saya datang ke sini mencari buku travelog, Alhamdulillah saya sudah dapat dua buku travelog. Bagi saya, boleh dikatakan Karangkraf menawarkan harga yang sangat murah.

“Sebab diskaun yang ditawarkan itu bagi saya memang berbaloi,” katanya yang hadir ditemani isteri.

Mohd Nazri Hussin, 59, pula berkata, banyak pilihan buku yang ditawarkan menyebabkan dia rambang mata.

“Saya cari buku berkaitan hati dan agama. Alhamdulillah saya sudah dapat tiga naskhah buku.

“Banyak buku menarik ditawarkan pada harga yang sangat berpatutan,” katanya.

Jualan Gudang Karangkraf kali ini mengangkat tema #RoadToRamadan menyediakan pelbagai buku, novel dan al-Quran terbitan Karya Bestari.

Artikel Berkaitan:

Penganjurannya bermula 25 Januari hingga 4 Februari depan dibuka kepada orang ramai seawal jam 9 pagi sehingga 7 malam bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

Dalam pada itu, jualan gudang kali ini turut diserikan dengan pertandingan melibatkan penyertaan kanak-kanak yang akan berlangsung hari ini.

Eksekutif Pemasaran Grup Buku Karangkraf, Shahril Syamell berkata, dua pertandingan itu ialah pertandingan hafazan dan azan yang melibatkan murid-murid sekolah rendah.

“Ia akan dijalankan pada Selasa (30 Januari 2024) di Studio F, Kumpulan Karangkraf di mana kita tetapkan untuk pertandingan hafazan (Juz Amma, daripada surah Ad-Dhuha sehingga surah An-Nas) pada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, manakala pertandingan azan dijalankan di tempat sama pada jam 2 hingga 5 petang.

Pengunjung, Amira Aziz, 30, (kiri) dan Izzah Kasim,70, tidak melepaskan peluang membeli buku dan novel pada Jualan Gudang Karangkraf di Shah Alam.
Pengunjung, Amira Aziz, 30, (kiri) dan Izzah Kasim,70, tidak melepaskan peluang membeli buku dan novel pada Jualan Gudang Karangkraf di Shah Alam.

“Seramai 60 peserta yang menyertai pertandingan ini adalah dalam kalangan murid sekolah rendah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tambahnya, pertandingan itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS).

“Pemenang pertama bagi setiap pertandingan ini akan menerima wang tunai berjumlah RM100 berserta sijil penyertaan, tempat kedua RM80 beserta sijil penyertaan dan ketiga RM50 beserta sijil penyertaan,” katanya.

Pada Rabu pula katanya, akan diadakan pula pertandingan Bercerita Sirah Nabi.

“Pertandingan ini juga akan diadakan di Studio F dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan Alhamdulillah kita sudah berjaya kumpul seramai 20 peserta,” katanya.

Menurutnya, penganjuran pertandingan yang julung kali diadakan ini bagi menarik lebih ramai penyertaan kanak-kanak sempena jualan gudang.

“Sebelum ini memang tiada pertandingan diadakan (Jualan Gudang Krangkraf sebelum ini), hanya ada aktiviti-aktiviti sahaja.

“Jadi kita tambah seri lagi untuk jualan gudang ini dengan penganjuran pertandingan berunsurkan Islamik,” katanya.

Sementara itu, menyentuh kemeriahan sepanjang penganjuran jualan, Shahril berkata, sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai sepanjang enam hari jualan gudang berlangsung.

“Saya amat terharu dengan penerimaan orang ramai, boleh dikatakan jualan kita diterima baik dengan kehadiran orang ramai yang tanpa henti.

“Jadi saya amat berharap mereka yang masih belum lagi berkesempatan untuk mengunjungi jualan gudang ini agar tidak melepaskan peluang merebut diskaun hebat yang ditawarkan.

“Jangan lepaskan peluang mendapatkan diskaun ‘kaw-kaw’ yang diberikan. Sebagai contoh, sebuah buku kita tawarkan RM7 tetapi jika beli lima buah, pengunjung hanya perlu bayar RM20 sahaja,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!