Think Quran usaha baik, perlu disokong - Mufti
GEORGE TOWN - Aplikasi Think Quran yang melancarkan kempen #FahamKhatamAlQuran sempena Ramadan adalah suatu inisiatif yang baik untuk menggalakkan umat Islam khasnya di negara ini ke arah meminati kitab ALLAH SWT dengan membaca dan memahami kandungannya menerusi kaedah tertentu yang difikirkan berkesan.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, walaupun masih terlalu awal untuk menelaah kejayaan aplikasi tersebut, namun tidak diragui ia satu usaha yang baik dan perlu disokong.
"Aplikasi ini satu usaha yang baik untuk menggalakkan umat Islam khususnya golongan muda untuk membaca dan memahami al-Quran.
"Bagaimanapun ia masih baru untuk mengetahui keberkesanannya namun diharapkan akan mampu mencipta kejayaan. Usaha ini harus disokong," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Tambah beliau, perlu diketahui bahawa ayat-ayat al-Quran tidak sama di sudut kejelasan maksudnya yang mana, ada sebahagian ayat yang terang dan jelas maksudnya.
"Jika ia terang dan jelas, maka ia mampu difahami dengan mudah oleh semua orang. Bagi golongan yang dapat menguasai bahasa Arab dengan segala cabangnya, tentu lebih berkemampuan dalam memahami maksud ayat yang dibaca.
"Ayat-ayat yang berkaitan dengan janji baik (dengan ganjaran syurga) dan ancaman (dengan seksaan neraka), yang menggemarkan dan yang menakutkan, tentang penciptaan langit dan bumi serta yang menyeru kepada agama ALLAH dan seumpamanya, merupakan ayat-ayat yang maksudnya mudah difahami oleh setiap orang yang berakal siuman," katanya.
Wan Salim berkata, ada ayat-ayat al-Quran yang sukar difahami perlu dirujuk kepada para ulama lebih pakar.
"Ayat-ayat yang menyentuh persoalan hukum maka ia tidak harus difahami oleh setiap individu mengikut fikiran sendiri. Sebaliknya perlu dirujuk kepada para ulama yang mengkhusus dalam ilmu fiqh untuk mengetahui maksudnya yang sebenar dari segi hukum.
"Malah ada segelintir ayat al-Quran yang tidak diketahui maksud sebenar oleh mana-mana manusia namun itu hanga ALLAH SWT yang tahu makna yang dikehendaki-Nya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!