Rakyat Palestin terpaksa larikan diri lagi selepas Israel beri amaran
GAZA - Ribuan penduduk Palestin melarikan diri dari rumah mereka di barat Gaza menuju ke tempat yang lebih selamat selepas menerima amaran daripada tentera Israel pada Isnin.
Hanya membawa selimut dan peralatan tempat tidur, mereka melalui serpihan kemusnahan jalan-jalan di Kota Gaza untuk mencari perlindungan dengan kebanyakan mereka berjalan kaki.
Ada juga kalangan mereka yang menggunakan motosikal, kereta untuk mengangkut barang dan ahli keluarga mereka.
Sementara itu, beribu-ribu rakyat Palestin telah bergerak ke arah Rafah berhampiran sempadan Mesir ketika perang semakin memuncak antara Israel dan pejuang Hamas di bandar Khan Younis.
Dasar penindasan dan pencerobohan Israel selama 75 tahun menjadi punca serangan Hamas terhadap Zionis itu pada 7 Oktober lalu.
Sejak itu, Israel telah bertindak balas membunuh lebih 26,000 rakyat Palestin di Gaza dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Ketika ini tiada lagi kawasan selamat di Gaza disebabkan serangan udara dan darat Israel terhadap seluruh wilayah itu. - Awani
Israel akan terus sasar bandar Khan Younis
TEL AVIV - Israel akan terus mengekalkan tekanan ke atas bandar Khan Younis di selatan Semananjung Gaza.
Jurucakap tenteranya, Daniel Hagari juga mendakwa, sepanjang bandar itu menjadi sasaran serangan, IDF telah membunuh lebih daripada 2,000 anggota kumpulan pejuang Hamas di kawasan.
Hagari juga mendakwa, bahawa tentera Israel telah membongkar dua daripada empat batalion Hamas di sekitar bandar berpenduduk padat itu.
Ia turut mendakwa membongkar kegiatan kumpulan Hamas yang kononnya beroperasi dari dalam puluhan kilometer terowong bawah tanah.
"Di seluruh Khan Younis kami telah menghapuskan lebih daripada 2,000 pejuang Hamas di atas dan di bawah tanah.
"Di samping itu, kami memusnahkan infrastruktur bawah tanah yang ketara, di mana kami menemui kemudahan untuk menahan tebusan, pusat perintah, senjata, kemudahan pengeluaran dan bahan risikan," katanya.
Selain itu, Hagari turut berkata, dalam tempoh seminggu lalu, lebih 300 individu yang disyaki terkait dengan kumpulan pejuang Hamas di sana telah ditahan untuk disoal siasat. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!