Panel perubatan asnaf: LZS sangkal dakwaan tidak utamakan farmasi Muslim

Tawaran pelantikan farmasi atau syarikat pembekalan perubatan terbuka kepada semua yang memenuhi syarat dan kelayakan. Foto 123RF
Tawaran pelantikan farmasi atau syarikat pembekalan perubatan terbuka kepada semua yang memenuhi syarat dan kelayakan. Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) menolak dakwaan pihak tertentu kononnya tidak memberi keutamaan kepada farmasi Muslim dalam pelantikan farmasi panel bagi program bantuan perubatan asnaf di negeri Selangor.

Ketua Pegawai Operasinya, Ahmad Fadhil Hassan berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana tawaran pelantikan farmasi atau syarikat pembekalan perubatan terbuka kepada semua yang memenuhi syarat dan kelayakan.

Menurut beliau, antara syarat kelayakan utama perlu dipenuhi farmasi panel termasuklah mempunyai semua lesen operasi dan kebenaran yang diperlukan di bawah Akta Lesen Racun 1952 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Antara lesen diperlukan termasuklah lesen farmasi, lesen ahli farmasi, lesen SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) dan juga lesen jenis A," katanya menerusi hantaran video di Facebook LZS pada Selasa.

Ahmad Fadhil menjawab dakwaan pihak tertentu
menerusi hantaran video di Facebook LZS pada Selasa.
Ahmad Fadhil menjawab dakwaan pihak tertentu menerusi hantaran video di Facebook LZS pada Selasa.

Ahmad Fadhil berkata, LZS amat mengutamakan kepentingan asnaf di negeri ini dan sentiasa berusaha mencari kaedah terbaik bagi memudahkan urusan penerima khususnya dalam mendapatkan bekalan keperluan perubatan.

Beliau menjelaskan, LZS pada tahun ini buat kali pertama melaksanakan pelantikan panel bagi farmasi syarikat pembekalan perubatan.

"Mengapakah LZS mengambil tindakan melantik panel farmasi syarikat pembekalan perubatan?

Artikel Berkaitan:

"Ini bagi memudahkan asnaf mendapatkan bekalan perubatan mengikut lokaliti kawasan masing masing," ujar beliau.

Tambah Ahmad Fadhil, pelantikan panel farmasi juga dibuat sebagai langkah kawalan dalam penyaluran bantuan perubatan oleh panel dilantik selain menjamin ketulusan dan kualiti bantuan keperluan perubatan yang diterima oleh asnaf.

"Pelantikan panel farmasi juga sebagai satu proses 'due diligence' (usaha wajar) di peringkat LZS bagi memastikan panel dilantik adalah pemegang lesen berdaftar dengan KKM," jelas beliau.

Sehubungan itu, katanya, sebanyak 413 farmasi telah dilantik oleh LZS dalam tempoh tiga tahun lalu.

"Farmasi ini dilantik berdasarkan kepada keupayaan bagi membekal keperluan perubatan kepada asnaf di Selangor dan dalam masa sama memenuhi syarat serta kelayakan yang ditetapkan oleh LZS.

"LZS menilai panel farmasi ini dari segi keupayaan menyediakan bekalan perubatan yang mencukupi dan paling penting adalah ia mudah diakses oleh asnaf di kawasan mereka," katanya.

Ahmad Fadhil berkata, untuk rekod pada tahun lalu sahaja, LZS telah menyalurkan bantuan perubatan kepada kira-kira 12,000 penerima dan jumlah itu dijangka meningkat setiap tahun.

Selain itu, jelas beliau, LZS akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa kepada panel farmasi yang dilantik dan akan membuat semakan semula ke atas prestasi perkhidmatan sepanjang tempoh pelantikan bagi memastikan syarikat pembekalan perubatan memberikan perkhidmatan terbaik kepada asnaf.

"Penawaran menjadi panel farmasi syarikat pembekalan perubatan ini terbuka dan sekiranya ada farmasi berminat bolehlah berhubung secara terus dengan LZS.

"Kami di LZS akan memastikan kelulusan dalam pengurusan panel farmasi ini dan paling penting keperluan bantuan perubatan kepada asnaf disantuni sebaik mungkin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!