Agong, Raja Permaisuri tetap di hati rakyat
KUALA LUMPUR - 'Baginda Sultan dan Permaisuri tetap di hati kami.'
Demikian luahan beberapa pelajar kolej tempatan yang sedih selepas berakhirnya tempoh perkhidmatan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Safra Razak, 21, berkata, keperibadian baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sememangnya sentiasa di hati rakyat jelata.
"Sebenarnya saya amat meminati kedua-dua pasangan diraja ini dan sering ikuti perkongsian baginda berdua berkaitan aktiviti bersama rakyat di laman media sosial.
"Ini dapat dilihat menerusi jelajah 'Kembara Kenali Borneo' di Sarawak dari 7 sehingga 13 September lalu, baginda berdua secara peribadinya baik dan ramah dengan rakyat jelata," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Katanya, dia sentiasa mendoakan kesejahteraan baginda berdua.
"Secara jujurnya saya sedih sebab baginda akan berakhir tugas, apa pun saya akan sentiasa doakan kesejahteraan baginda berdua.
"Semoga apa yang dilakukan oleh baginda berdua diberikan rahmat dan keberkatan oleh ALLAH," katanya.
Ribuan individu terdiri daripada penjawat awam termasuk pelajar kolej serta sekolah menyertai Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sekitar Jalan Parlimen di sini.
Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dilihat turut melambai tangan kepada orang ramai ketika kedua pasangan diraja itu dibawa menaiki kenderaan ketika istiadat berkenaan.
Sementara itu, pelajar, Siti Aisyah Mohd Asri, berkata, dirinya teruja dapat turut sama menyertai acara bersejarah ini.
"Ini merupakan kali pertama saya saksikan kedua pasangan diraja ini secara berhadapan, memang kenangan yang terindah bagi saya.
"Saya amat teruja, syukur sangat sebab berpeluang bersama dalam detik bersejarah ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!