Iman Najwa operator kontena wanita pertama di Northport

Iman Najwa buktikan kerja-kerja mengendalikan jentera, mengangkut dan memindahkan kontena seberat lebih 40 tan di pelabuhan boleh dilakukan oleh wanita.
Iman Najwa buktikan kerja-kerja mengendalikan jentera, mengangkut dan memindahkan kontena seberat lebih 40 tan di pelabuhan boleh dilakukan oleh wanita.
A
A
A

SHAH ALAM - Mengendalikan jentera, mengangkut dan memindahkan kontena seberat lebih 40 tan di pelabuhan bukan skop pekerjaan biasa dilakukan oleh wanita dalam negara ini.

Namun, Operator Peralatan Kontena Gred B, Northport (Malaysia) Bhd (Northport), Iman Najwa Hazimi, 31, menyangkal sentimen tersebut dan membuktikan bahawa pekerjaan itu boleh dilakukan oleh golongan wanita.

Iman Najwa berkata, pekerjaannya itu mempunyai cabarannya yang tersendiri, tetapi ia tidak pernah menghalangnya daripada cuba mempelajari kemahiran-kemahiran baharu.

“Masa itu, tawaran kerja belum dibuka untuk wanita lagi. Jadi saya mencuba sahaja dan kebetulan syarikat mahu cuba ambil wanita untuk kerjaya itu.

Norhatti ketika menaiki tangga setinggi 21 meter untuk ke kren.
Norhatti ketika menaiki tangga setinggi 21 meter untuk ke kren.

“Jadi saya wanita pertama yang menjawat jawatan Operator Peralatan Kontena. Saya cerita pada keluarga saya, dan mereka kata kalau boleh buat, teruskan,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Tambah Iman Najwa, tugasnya adalah mengendalikan kren Gantri Tayar Getah (RTG) yang mana bertujuan untuk mengangkut dan memindahkan kontena-kontena di kawasan pelabuhan.

Menurutnya, sebelum memulakan pekerjaan, dia perlu menjalani latihan terlebih dahulu selama sebulan bagi memahirkan pengendalian kren tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun kekok pada awalnya, tetapi saya melihat itu sebagai cabaran. Macam kita bawa jentera dan treler 45 kaki (13.7 meter). Jadi pada saya ia sesuatu yang baru.

“Pada saya apa yang penting adalah kemahiran dan memahami ‘marking’ (penandaan) apabila kita hendak letakkan sesebuah kontena itu. Sebab untuk susunan kontena itu, kita telah diberikan panduan di mana perlu letak kontena dan sebagainya.

“Jadi kami sendiri kena pastikan kontena itu disusun dengan betul dan selari. Itu antara kemahiran yang semua operator perlu ada,” ujarnya.

Norhatti ketika mengendalikan mesin RTG
Norhatti ketika mengendalikan mesin RTG

Dalam pada itu, Operator Peralatan Kontena Gred B Northport, Norhatti Abdul Rahman, 24, berkata, antara cabaran yang dihadapi dalam pekerjaannya adalah menaiki tangga setinggi 21 meter untuk masuk ke dalam kren.

“Umpamanya kita naik bangunan setinggi enam tingkat dengan berjalan kaki. Itu satu cabaran lebih-lebih lagi kalau hujan lebat. Namun saya tidak risau kerana Northport mengamalkan standard dan prosedur keselamatan kerja yang tinggi dan itu memberikan saya keyakinan untuk menjalankan tugas,” kongsinya.

Iman Najwa dan Norhatti.
Iman Najwa dan Norhatti.

Sungguhpun bekerja dalam bidang yang didominasi oleh lelaki, Norhatti menyatakan dia tidak memandang perbezaan jantina itu sebagai satu masalah besar.

“Tekanan itu ada, itu tidak dinafikan tetapi ia masih boleh dikawal lagi. Bagaimanapun, kita pastikan segala tugas diselesaikan dengan sempurna," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!