Konspirasi pecah-belah Bersatu berkecai - Azmin Ali
SHAH ALAM - Konspirasi musuh dalam memecah-belahkan keutuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal apabila Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebulat suara mendukung dan mempertahankan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Ahli MPT Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dalam Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Ahad juga, mengulangi ikrar dan tekad untuk meneruskan perjuangan demi umat dan negara.
“Kami diasak oleh musuh kerana Bersatu dan PN adalah ancaman utama kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH)-UMNO yang rapuh dan menanti saat untuk rebah. Kami akan meneruskan agenda prihatin dan mengangkat suara rakyat yang dibungkam oleh sang penguasa yang zalim.
“Bersatu akan terus membicarakan soal kos sara hidup dan inflasi, membawa penyelesaian untuk menangani masalah harga barang yang terlalu mahal, ketiadaan bekalan beras tempatan, kadar tarif elektrik dan air yang melambung serta kami akan berjuang bersama anggota perkhidmatan awam yang sedang diinjak.
“Bersatu merasai segala denyutan nadi rakyat. Kami pantas turun ke lapangan, bergerak sederap, bahu membahu demi rakyat dan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, wujud dakwaan tentang pergolakan dalaman Bersatu termasuk parti itu kini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ‘Kem Presiden’ dan ‘Kem Setiausaha Agung’.
Perkara itu didakwa berlaku susulan tindakan Muhyiddin yang membuat ‘pusingan U’ selepas mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan akan datang.
Bagaimanapun, dalam mesyuarat MPT yang berlangsung itu, tiada sebarang tindakan ‘ekstrem’ seperti yang dijangka sesetengah pihak, sebaliknya hanya pertukaran beberapa kepimpinan negeri dan lantikan baharu dalam MPT.
Azmin sendiri misalnya, dilantik sebagai Pengerusi Bersatu Selangor yang baharu menggantikan Datuk Abdul Rashid Asari manakala Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang sebelum ini mengetuai Bersatu Negeri Sembilan digantikan oleh Mohamad Hanifah Abu Bakar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!