50 saksi akan beri keterangan terhadap Wan Saiful

Wan Saiful hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, bagi prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram pada Selasa.
Wan Saiful hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, bagi prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 50 saksi akan dipanggil ke Mahkamah Sesyen di sini, bagi memberi keterangan terhadap bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berdepan 18 kes pengubahan wang haram dan dua rasuah berhubung projek Jana Wibawa.

Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi berkata demikian ketika pengurusan kes di hadapan Hakim, Rozina Ayob.

“Sebahagian besar daripadanya merupakan pernyataan saksi itu agak panjang, maka perjalanan prosiding bergantung kepada pemeriksaan balas kelak,” katanya yang mengendalikan kes bersama, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa.

Difahamkan, antara saksi yang akan hadir ke mahkamah ialah beberapa ahli politik, kakitangan bank dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Bagaimanapun, peguam, Chetan Jethwani yang mewakili Ahli Parlimen Tasek Gelugor ini memaklumkan, pihaknya belum memperoleh pernyataan saksi terbabit.

“Kami berharap dokumen itu dapat diberi lebih awal, agar pembelaan dapat membuat persediaan sebelum perbicaraan kelak.

“Selain itu, kami mengesahkan telah mendapat empat ikatan dokumen berkaitan kes namun dua lagi baki belum diserahkan oleh pendakwaan,” katanya.

Rasyidah Murni mengesahkan perkara itu dan memaklumkan, dokumen terbabit akan diberi sebelum tarikh perbicaraan bermula.

Artikel Berkaitan:

Rozina kemudiannya mengekalkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan dalam prosiding lalu.

Tarikh itu ialah pada 25 hingga 27 Mac; 29 dan 30 April; dan 20 hingga 21 Mei, 19 hingga 21 Jun; 24 dan 25 Jun; 10 hingga 12 Julai serta 8 dan 9 Ogos depan.

Mahkamah turut menambah beberapa lagi tarikh perbicaraan baharu iaitu 19 hingga Ogos akan datang.

Pada 21 Februari tahun lalu, Wan Saiful, 48, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek 'Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur' daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Beliau juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.

Pada 25 Oktober 2023, Wan Saiful didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindahkan dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya untuk membayar pembelian sebuah kereta jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang berkenaan ke beberapa akaun syarikat.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 November 2022, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!