Lelaki didenda RM7,000 miliki video lucah, cabul pelancong Sepanyol

Muhammad Aiman Danial dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa.
Muhammad Aiman Danial dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Seorang pembantu kedai runcit didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencabul pelancong warga Sepanyol dan memiliki video lucah, minggu lalu.

Muhammad Aiman Danial Mohd Najib, 22, yang masih bujang membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita warga asing berusia 22 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lorong Seni atau Lorong Panglima Ipoh berdekatan Masjid Sultan Idris Shah Kedua dalam daerah Kinta jam lebih kurang 7 petang pada 24 Januari 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki video lucah di dalam telefon bimbitnya ketika ditahan di tepi jalan di Jalan CM Yusoff dekat Ipoh sekitar jam 6 petang pada 25 Januari 2024.

Sabit kesalahan, lelaki terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira kesan emosi mangsa.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan meminta hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya itu telah mengaku bersalah dan berjanji tidak mengulangi perbuatan sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan RM2,000 bagi setiap pertuduhan selain dikenakan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar kedua-dua denda berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa dan rakan perempuannya telah diekori oleh suspek sehingga ke lokasi kejadian sebelum lelaki terbabit meminta untuk mengambil gambar bersama rakan mangsa.

Semasa bergambar, suspek telah memeluk erat bahu wanita tersebut sebelum bertindak keterlaluan dengan meramas dada mangsa.

Mangsa yang terkejut telah menolak suspek dan menjerit, menyebabkan lelaki itu terus melarikan diri. Ketika kejadian, rakan mangsa sempat merakam gambar suspek.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!