Ugut bunuh PM: Pemandu lori menangis dijel enam bulan

Seorang pemandu lori dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur kerana mengancam untuk menembak mati Perdana Menteri dengan menawarkan RM5 juta, enam bulan lalu.
Seorang pemandu lori dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur kerana mengancam untuk menembak mati Perdana Menteri dengan menawarkan RM5 juta, enam bulan lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori terkejut lalu menangis di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa selepas dihukum penjara enam bulan kerana mengancam untuk menembak mati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menawarkan RM5 juta, enam bulan lalu.

Faizal Mohamad, 35, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, N Priscilla Hemamalini.

Mahkamah memerintahkan Faizal selaku orang kena saman (OKS), dipenjara bermula Selasa.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang mengancam dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan dilakukan pada 20 Julai tahun lalu melalui perkhidmatan aplikasi TikTok menggunakan nama profil '@jaiadani89' dan dibaca di sebuah kondominium di Jalan Tong Shin, di sini, pada jam 12 tengah hari, 26 November tahun sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum setahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika didapati bersalah.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal berkata, hantaran yang dibuat oleh OKS adalah tidak wajar dan bersifat mengancam, sedangkan dia perlu berhati-hati ketika menggunakan media sosial.

Artikel Berkaitan:

“Saya mohon OKS dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat,” kata Nurilya.

Bagaimanapun, Faizal yang tidak diwakili peguam, merayu dia dikenakan hukuman denda kerana baru mendapat kerja sebulan yang lalu.

“Saya perlu menanggung isteri yang juga seorang suri rumah, dua anak berumur tujuh dan lapan tahun serta ibu yang menghidap penyakit jantung.

“Saya ada banyak hutang, malah kelengkapan sekolah anak tidak beli lagi,” katanya.

Hujung tahun lalu, tular di media sosial tangkap layar video yang dimuat naik seorang pengguna TikTok menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang menembak mati Perdana Menteri, menteri dan ahli-ahli sebuah parti politik.

Bagaimanapun, video tersebut sudah dipadamkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!