Missclyen Roland jadi anak angkat Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah
BERIKUT adalah petikan wawancara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkongsi rasa, kisah dan suka duka lima tahun baginda berdua bersama sekumpulan pengamal media di Istana Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bila Tuanku bercerita mengenai kembara di Sabah dan Sarawak itu, Tuanku juga difahamkan ada mengambil anak angkat?
Permaisuri: Ada, saya ada ambil anak angkat. Saya sepatutnya pergi pada bulan lepas untuk berjumpa tetapi saya terlepas kerana ada program.
Jadi bulan Februari atau Mac baru saya akan pergi.
Kadangkala saya ada telefon Missclyen Roland (anak angkat) dan ayahnya.
Cuba untuk selalu hubungi. Saya dan Tuanku akan tanggung (kos perubatan dan pelajaran) dia.
Yang di-Pertuan Agong: Hendak mencari ubat untuk perubatan Missclyen itu, kita tidak tahu macam mana.
Siapa kita hendak hubungi.
Bagaimana Tuanku dan Permaisuri Agong berjumpa dengan mereka pada ketika itu? Mungkin boleh ceritakan?
Permaisuri: Sebenarnya saya dan Tuanku berada di dalam masjid, jadi bila keluar Tuanku tidak perasan sebab ramai yang hendak bersalam dengan Tuanku.
Masa itu dia datang dekat dengan saya, saya mahu panggil Tuanku tetapi Tuanku sudah jauh di depan.
Jadi saya tarik Tuanku ke belakang dan saya dukung budak itu.
Saya kata “Tuanku, mari tengok ini” dan Tuanku memang tidak pernah jumpa (keadaan) seperti itu.
Tuanku pun terperanjat.
Budak itu memang baik sangat tetapi bila saya dukung itu, saya rasa sayang dan kasihan pada dia.
Sebab itu masa balik, saya kata pada Tuanku, saya nak ambil sebagai anak angkat.
Saya nak tanggung pelajaran, perubatan dan jaga dia.
Kita ambil dari keluarga dia dan kita carikan perubatan, nak tolong dia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!