'Rambai', 'Pian' mengepalai perarakan Lambaian Kasih

Dua ekor gajah, Myan Thon Pian dan Rambai (kanan) mengepalai perarakan menyambut ketibaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Selasa. Foto Bernama
Dua ekor gajah, Myan Thon Pian dan Rambai (kanan) mengepalai perarakan menyambut ketibaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong Ke-16 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Dua ekor gajah, 'Rambai' dan 'Myan Thon Pian' (Pian) yang diberikan tanggungjawab mengepalai perarakan Lambaian Kasih bersempena dengan Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini, mengimbau kembali nostalgia kegemilangan Kesultanan Melayu lama.

Gajah yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (PKGK), Lanchang, Pahang itu, dihias dengan 'pakaian khas' berwarna merah dan kuning, membawa dua individu yang berpakaian seperti raja dan permaisuri, simbolik penggunaan haiwan itu sebagai tunggangan Raja-raja Melayu zaman dahulu.

Perarakan yang penuh istiadat itu turut disertai oleh petugas Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang berpakaian seperti hulubalang gagah perkasa, pembesar istana, kundang, biduanda, embuai, pembawa tombak dan inang istana, selain paluan nafiri dan genderang serta rakyat jelata, sekali gus menghidupkan zaman kegemilangan Raja-raja Melayu dahulu kala seperti terkandung dalam Sulalatus Salatin.

Menurut mahut (penjaga) Pian, Mohd Faridzul Mohd Padzil, 38, Rambai dan Pian pernah diberikan tanggungjawab sama semasa perarakan keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong ke-14 Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 2016.

Beliau berkata, Pian yang mempunyai berat lima tan dan berusia 50 tahun itu juga pernah ditunggang Al-Sultan Abdullah ketika Seri Paduka mencemar duli mengadakan lawatan ke pusat konservasi itu semasa lawatan Putera Monaco, Putera Albert II pada 28 Nov tahun lepas.

Selain dua ekor gajah berkenaan, turut menyertai perarakan itu ialah Querac, Pappi Russe, Silent, Fast Trak, Courtex, Love Beautiful dan Fordodo yang merupakan antara 16 ekor kuda daripada Skuadron Istiadat Berkuda (SIB) Rejimen ke-21 Kor Armor Diraja (Istiadat).

Pegawai Memerintah SIB Lt Kol Shahanun Osman berkata, semua kuda terbabit merupakan baka Warmblood yang berasal dari Belgium dan telah dilatih sejak dihantar ke Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya menugaskan anggota yang berpengalaman sekurang-kurangnya empat tahun untuk mengawal haiwan berkenaan bagi memastikan istiadat itu berjalan lancar memandangkan sifat kuda yang tidak dapat dijangka.

Artikel Berkaitan:

"Nama asal haiwan ini dikekalkan kerana semasa latihan di negara asal, kesemua kuda ini sudah biasa dengan nama berkenaan dan pada peringkat awal, pelatih juga guna bahasa negara asal mereka.

"Tetapi kini, kesemua kuda ini sudah faham arahan dalam bahasa Melayu. Haiwan ini hanya ambil masa antara tiga hingga empat bulan untuk faham bahasa kita dan telah biasa menyertai pelbagai acara rasmi,” katanya.

SIB Kor Armor Diraja yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh, Selangor itu ditubuhkan pada 13 Mei 1997, berperanan sebagai pasukan yang menyempurnakan tugas istiadat diraja, acara kebangsaan serta pengawal statik di pintu masuk utama Istana Negara.

Sementara itu di Kuantan, Pahang, dua ekor gajah bernama "Alam" dan "Sanum" yang sering diziarahi Al-Sultan Abdullah di PKGK, Temerloh turut "menyambut" keberangkatan balik Seri Paduka berdua ke negeri itu hari ini.

Alam, gajah jantan berusia 26 tahun dan Sanum, gajah betina berumur 19 tahun ditemani mahut masing-masing, "segak berpakaian" baju khas perarakan dan hiasan kepala, menyambut ketibaan Seri Paduka berdua kira-kira satu kilometer (km) dari lokasi akhir perarakan diraja di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Penolong Pengarah PKGK, Mohammad Abu Huzaifah Abu Samah berkata, persiapan melatih gajah bermula sebulan lepas, bagi membiasakan haiwan itu dengan suasana sebenar kerana ia diadakan di kawasan terbuka. Gajah terlibat juga mudah mendengar cakap dan dilatih.

"Latihan juga menggunakan pembesar suara untuk membiasakan gajah ini dengan bunyi bising, mengambil kemungkinan suasana riuh pada hari sebenar. Kami juga datang dua hari awal ke lokasi bagi membiasakan gajah dengan laluan perarakan itu," katanya.

Selain gajah, turut menyambut kepulangan pasangan diraja itu ialah kuda kesayangan Al-Sultan Abdullah, daripada baka Criollo bernama Cacu, kuda jantan berusia tujuh tahun yang didatangkan bersama 15 lagi ekor kuda daripada Kelab Polo Diraja Pahang (RPPC) di Pekan, Pahang.

Al-Sultan Abdullah menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini, selepas memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 30 Januari 2019 dan digantikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!