Tindakan BAM ‘smash’ beregu lelaki dipersoal
BEKAS pemain badminton negara, Roslin Hashim mempertikaikan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggugurkan beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin daripada badan induk itu.
Menurutnya, keputusan tersebut dianggap tidak masuk akal berdasarkan prestasi gandingan itu, apatah lagi Ee Yi dan Yew Sin kini menghuni ranking ke-19 dunia selain menjadi beregu lelaki ketiga terbaik Malaysia.
"Saya tidak faham bagaimana kriteria penilaian dibuat BAM. Ee Yi dan Yew Sin berada di ranking ke-19 dunia dan ia bukan satu kedudukan yang teruk, sebaliknya boleh dikatakan memuaskan.
"Saya agak terkejut kerana kalau diikutkan prestasi Ee Yi dan Yew Sin lebih kurang sama seperti satu lagi beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik. Ee Yi dan Yew Sin juga pernah ke final kejohanan masters tahun lepas.
"Apa kriteria yang diputuskan BAM sebenarnya? Adakah berada di ranking ke-19 dunia belum cukup bagus dan tak mencapai indeks prestasi utama (KPI)? Bukannya beregu itu jatuh ranking sehingga ke tangga ke-60 dunia," katanya kepada Sinar Harian.
Selain Ee Yi dan Yew Sin, BAM turut menggugurkan tiga pemain perseorangan lelaki - Soong Joo Ven, Tan Jia Wei dan Muhammad Ziyad Md Taha dan beregu wanita, Lim Peiy Yee-Lim Chiew Sien selaras dengan Projek 24 yang dilancarkan pada September tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh pemain kena 'smash'
Projek 24, satu pelan yang akan diperkenalkan BAM yang menyasarkan pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 selain menetapkan sasaran terhadap skuad badminton negara sebagai finalis Piala Thomas.
Roslin turut mempertikaikan tindakan BAM yang masih menyimpan pemain perseorangan wanita, Soniia Cheah yang dilihatnya tidak memberikan sebarang impak positif kepada skuad negara.
"Soniia sudah jelas tidak menunjukkan prestasi yang bagus, kenapa masih disimpan? Apa keputusan yang telah disumbangkan pemain itu? Saya yakin BAM sudah tentu bagi alasan tak gugurkan pemain perseorangan wanita kerana tidak cukup pemain di bahagian itu.
"Itu isu lain dan itulah risikonya. Projek 24 ini memilih pemain yang terbaik sahaja dan ini sudah lari daripada perancangannya. Kalau tak bagus, jangan simpan dan BAM boleh cari pemain lain," tegasnya lagi.
Roslin yang pernah bergelar pemain nombor satu dunia juga mendakwa isu 'pilih kasih' masih lagi wujud dalam persatuan itu melihatkan kepada apa yang dialami Ee Yi dan Yew Sin.
"Itulah masalah yang lama berlaku dan masih wujud dalam BAM. Jurulatih ada pemain kegemaran mereka, pengurusan pun ada pemain kegemaran mereka sendiri. Sampai bila badminton kita ini tak akan maju," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap Ee Yi dan Yew Sin tidak patah semangat dan mengejar cita-cita mereka untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun tidak lagi berada di bawah naungan BAM.
"Hanya dengan kejayaan yang mampu membuka kembali mata BAM. Jadi saya nasihatkan Ee Yi dan Yew Sin terus berjuang dan buktikan apa yang dilakukan BAM itu salah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!