Marcos Jr, Duterte terus 'bercakaran'
MANILA - Perseteruan antara Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr dan bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte tampak tiada tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat.
Terbaharu, Duterte melemparkan pelbagai dakwaan terhadap Marcos Jr termasuk membangkitkan kemungkinan dia dipecat daripada jawatannya.
Pada Ahad lalu, Duterte mendakwa sekumpulan wakil rakyat menyokong Marcos Jr merancang meminda Perlembagaan bagi menarik balik had penggal jawatan Presiden Filipina.
Duterte memberi amaran tindakan itu boleh menyebabkan beliau digulingkan seperti bapanya, mendiang diktator Ferdinand Marcos.
Untuk rekod, tempoh khidmat jawatan Presiden Filipina adalah dihadkan hanya satu penggal iaitu selama enam tahun.
Ketika berucap dalam sebuah majlis pada Ahad lalu, Duterte juga menuduh Marcos Jr sebagai seorang penagih dadah.
Marcos Jr yang berang dengan dakwaan itu kemudiannya membalas dengan mengatakan Duterte seorang penagih kerana banyak menggunakan fentanyl.
Pada 2016, Duterte mengakui pernah menggunakan fentanyl untuk mengurangkan kesakitan akibat kecederaan tulang belakang selepas kemalangan motosikal.
Perbalahan terbuka antara Marcos Jr dan Duterte itu mengesahkan perselisihan politik antara mereka biarpun anak perempuan Duterte, Sara ialah Naib Presiden Filipina ketika ini.
Malah, penyokong Marcos Jr dan Duterte telah mengadakan demonstrasi pada Ahad lalu bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap pemimpin masing-masing. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!