Austria pula tangguh biaya UNRWA
GENEVA - Austria memutuskan untuk menyertai sekumpulan negara yang menangguhkan pembiayaan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
Negara itu menyertai Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, United Kingdom, Finland dan Jepun yang mendakwa 12 kakitangan agensi PBB berkenaan terbabit dalam konflik antara Hamas-Israel.
"Dakwaan itu amat mengejutkan dan sangat membimbangkan. Kami menyeru UNRWA dan PBB untuk menjalankan siasatan menyeluruh, cepat dan lengkap terhadap tuduhan ini.
"Semua sumbangan kepada UNRWA digantung sehingga semua dakwaan ini dijelaskan sepenuhnya," menurut Kementerian Luar Austria dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Kementerian Luar berkata, sumbangan tahunan Austria kepada UNRWA berjumlah kira-kira 400,000 euro (AS$433,508).
Selain itu, terdapat sumbangan sebanyak tiga juta euro setahun untuk projek kesihatan.
Dalam kenyataan sama, Kementerian Luar berkata, Austria akan terus membantu orang awam yang menderita di Gaza tanpa mengira keputusan mengenai UNRWA.
"Untuk meringankan penderitaan kemanusiaan yang besar, Austria menyediakan sejumlah 13 juta euro dalam bantuan kemanusiaan untuk penduduk di Gaza sejak 7 Oktober lepas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!