Rancang perjalanan musim perayaan dengan aplikasi MyPLUS-TTA

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

PETALING JAYA – Orang ramai kini boleh merancang perjalanan semasa musim perayaan dengan menggunakan aplikasi MyPLUS-TTA.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, MyPLUS-TTA adalah sebuah aplikasi digital oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk para pengguna lebuhraya merancang perjalanan semasa musim perayaan.

Menurutnya, MyPLUS-TTA berkonsepkan pengagihan trafik berdasarkan polar perjalanan pada musim-musim perayaan sebelum ini.

“MyPLUS-TTA membantu mengoptimumkan pengagihan trafik bagi mengurangkan risiko kesesakan dan meningkatkan keselesaan perjalanan pengguna,” katanya ketika berucap melancarkan aplikasi itu pada Selasa.

Beliau berkata, inisiatif MyPLUS-TTA menunjukkan kepentingan integrasi teknologi di dalam pengurusan lebuh raya negara.

“Inisiatif ini bukan sekadar akan memanfaatkan pengguna-pengguna lebuh raya tetapi juga menyumbang kepada kelestarian infrastruktur lebuh raya negara dengan mengagihkan trafik pada musim perayaan, meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna selain mengurangkan risiko kesesakan,” katanya.

Jelasnya inisiatif baharu yang diperkenalkan ini mengadaptasikan pendekatan digital dan selari dengan perkembangan teknologi masa kini yang semakin pesat.

“Saya yakin MyPLUS-TTA mampu memberi nafas baru kepada pendekatan rakyat dalam merancang perjalanan di musim perayaan dan dapat membantu mengurangkan kemungkinan berlakunya kesesakan di lokasi-lokasi tertentu di lebuh raya menerusi strategi pengagihan trafik.

Artikel Berkaitan:

“Ia membuktikan usaha dan komitmen berterusan PLUS dalam menambahbaik mutu perkhidmatan lebuh raya kendaliannya, selain daripada menyokong aspirasi pendigitalan kerajaan,” katanya.

Turut hadir majlis pelancaran yang berlangsung di Persada PLUS hari ini adalah Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir Mohd Hadzmir Yusoff, Presiden Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) merangkap Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir Zakaria Ahmad Zabidi, Pengarah Penguatkuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan, Pengarah Pusat MIROS, Ir. Ts. Dr. Muhammad Marizwan Abdul Manan.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, MyPLUS-TTA merupakan salah satu daripada inisiatif di bawah rangka strategi jangka-panjang PLUS ke arah Lebuh Raya Pintar (Smart Highway) untuk mempercekapkan operasi dan perkhidmatan lebuhraya PLUS dan memberi lebih kemudahan serta keselesaan kepada pengguna.

“MyPLUS-TTA ini memudahkan para pengguna untuk merancang jadual perjalanan mereka ketika musim- musim perayaan.

“Aplikasi ini juga dapat memudahkan PLUS untuk mengagihkan trafik secara strategik berdasarkan analisis data musim perayaan yang lalu dan merealisasikan komitmen kami untuk terus berusaha memberikan keselesaan para pengguna,” ujarnya.

Tambahnya, MyPLUS-TTA yang boleh diakses menerusi Aplikasi PLUS berperanan mengubah cara pengguna lebuh raya berinteraksi dengan perjalanan mereka.

“Dengan menggunakan data dan trend perjalanan pada musim-musim perayaan yang lalu, ia dapat membantu pengguna membuat keputusan dan memilih waktu perjalanan yang paling sesuai dengan kehendak mereka dan memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan selesa,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai aplikasi Pengurusan trafik yang lebih efisien, beliau berkata, menerusi aplikasi MyPLUS-TTA ini juga dapat mengurangkan pencemaran udara, selaras dengan komitmen kelestarian PLUS serta mendukung Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2030.

Menurut Nik Airina, bagi menghargai pengguna yang telah menggunakan MyPLUS-TTA dengan mendaftarkan perjalanan mereka dan mematuhi MyPLUS-TTA pada perayaan Deepavali dan Krismas yang lalu, pengguna telah turut berpeluang memenangi hadiah baucar membeli-belah.

“PLUS akan menawarkan peluang yang sama kepada pengguna untuk mendaftarkan perjalanan mereka menerusi MyPLUS-TTA pada perayaan Tahun Baru Cina yang akan datang bermula pada hari ini.

Pada majlis pelancaran tersebut, Menteri Kerja Raya juga mengumumkan bahawa MyPLUS- TTA akan turut diintegrasikan ke dalam Aplikasi MyJalan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).

“KKR menyokong penuh inisiatif ini. Maka, KKR bercadang untuk mengintegrasikan MyPLUS- TTA di dalam Aplikasi MyJalan pada setiap musim-musim perayaan yang akan datang.

“Ia bagi memudahkan rakyat untuk mengakses serta merancang perjalanan mereka dengan lebih efisien serta terus membolehkan MyJalan memainkan peranannya sebagai one-stop centre,” katanya.

Jelasnya lagi, MyPLUS-TTA boleh diakses menerusi Aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store (bagi peranti Android) dan App Store (bagi pengguna iPhone).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!