Tiga rakyat Palestin ditembak di hospital
JENIN - Tentera Israel telah membunuh tiga rakyat Palestin yang didakwa pejuang Hamas di Tebing Barat pada Selasa.
"Pagi ini tiga pemuda mati syahid akibat ditembak oleh penceroboh tentera yang menyerbu Hospital Ibn Sina di Jenin," kata Kementerian Kesihatan Palestin di Ramallah.
Pengarah Hospital Ibn Sina, Naji Nazzal berkata, terdapat sekumpulan tentera Israel yang menyamar masuk ke hospital tersebut sebelum membunuh tiga rakyat Palestin itu.
Menurut tentera Zionis, mereka bertindak membunuh lelaki yang dikatakan kononnya sedang bersembunyi di sebuah hospital dekat utara Tebing Barat yang diceroboh.
Memetik laporan berita rasmi Palestin Wafa menamakan tiga lelaki itu ialah Muhammad Jalamnah, Muhammad Ayman Ghazawi dan Basel Ayman Ghazawi.
Tentera Israel menuduh kesemua mangsa adalah pejuang Hamas yang menjadikan hospital sebagai tempat persembunyian. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!