Lebih RM75 juta tunggakan cukai belum dibayar kepada DBKK
KOTA KINABALU - Lebih RM75 juta tunggakan cukai belum dibayar oleh pengguna kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) setakat hari ini, kata Mayor DBKK, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Beliau berkata, jumlah itu termasuk cukai kadaran RM54.3 juta, faedah RM19.21 juta, manakala bayaran notis sebanyak RM2.16 juta.
"Untuk menggalakkan pembayaran tunggakan cukai, sebanyak 75 peratus (untuk suku tahun pertama sahaja) diskaun bagi bayaran faedah serta notis pemberitahuan akan diberikan dengan syarat pembayaran cukai tunggakan dibayar sekali gus,” katanya menerusi kenyataan media di sini pada Selasa.
Sabin berkata, rebat sebanyak lima peratus terhadap cukai tahun semasa pula diberikan sekiranya pembayar cukai kadaran tahun semasa dibayar sekali gus pada atau sebelum 31 Mac ini.
Beliau berkata, pada tahun lepas, DBKK telah memfailkan 11 notis tuntutan cukai berjumlah RM30,485.73 serta tujuh kes saman untuk tindakan perintah pelaksanaan berjumlah RM64,518.24.
Sabin berkata, dalam tahun yang sama, sebanyak 68 kes difailkan di mahkamah bagi kes pada tahun-tahun lepas berjaya diselesaikan dengan jumlah kutipan sebanyak RM634,051.52.
"DBKK menggalakkan semua pembayar menjelaskan cukai kadaran masing-masing untuk mengelakkan pengenaan faedah serta tindakan undang-undang,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!