Malaysia selangkah ke final Piala Dunia 5s
SKUAD hoki lelaki negara berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik kempen Piala Dunia 5 Sebelah (5s) apabila berjaya melangkah ke separuh akhir pada Selasa.
Anak buah Wallace Tan itu mara ke separuh akhir selepas menewaskan pasukan kepulauan selatan Laut Caribbean, Trininad & Tobago 5-4 pada aksi suku akhir di Muscat, Oman.
Bagaimanapun Trininad & Tobago terlebih dulu memimpin separuh masa pertama 3-2 hasil jaringan Akim Toussaint (m-6), Mickell Pierre (m-10) dan Tariq Marcano (m-14).
Sementara itu, dua gol pasukan negara pula dijelmakan kapten pasukan Mohamad Akhimullah Anuar Esook (m-9) dan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran (m-12).
Separuh masa kedua, Malaysia menambah tiga gol lagi menerusi Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee (m-17), Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin (m-22) dan Syarman Mat Tee (m-25) sebelum Teague Marcano mengurangkan defisit buat Trininad & Tobago dengan gol minit ke-30.
Sementara itu, Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin menyifatkan pengalaman beraksi di Sukan Olimpik Remaja Argentina 2018 membantu pasukannya untuk beraksi dengan baik.
“Kami berusaha keras dan cuba untuk bermain dengan bijak. Kami juga mempunyai kepercayaan yang tinggi sebagai satu pasukan bahawa kami mampu untuk mendapatkan kemenangan pada perlawanan suku akhir ini.
“Untuk aksi separuh akhir, kami akan bermain seperti biasa dengan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih dan kami percaya perlawanan yang sengit akan berlangsung pada separuh akhir nanti dan kami berharap kami mampu untuk meraih kemenangan,” katanya.
Skuad kendalian Wallace Tan yang berstatus naib juara Kumpulan D sebelum ini akan berdepan Poland dalam aksi separuh akhir awal pagi esok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!