Dua anggota 'Geng Alim' terlibat 15 kes curi motosikal diberkas

Ahmad Sukarno (lima dari kanan) menunjukkan hasil rampasan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada Selasa. - FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB (Gambar kecil: Polis sedang mengesan individu ini bagi membantu siasatan berhubung kes curi motosikal.)
Ahmad Sukarno (lima dari kanan) menunjukkan hasil rampasan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada Selasa. - FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB (Gambar kecil: Polis sedang mengesan individu ini bagi membantu siasatan berhubung kes curi motosikal.)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan 'Geng Alim' yang aktif mencuri motosikal dengan penahanan dua lelaki secara berasingan dalam serbuan di sekitar ibu kota pada 17 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, susulan tangkapan dua lelaki berusia 24 dan 30 tahun itu, polis merampas dua buah motosikal jenis Yamaha.

"Kita turut merampas sembilan rangka motosikal dan enam komponen motosikal pelbagai jenis yang telah dilaporkan hilang di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dengan anggaran rampasan bernilai RM60,000," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Ahmad Sukarno berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket itu didalangi empat lelaki warga tempatan yang diketuai suspek dikenali sebagai 'Alim' berusia 24 tahun dengan mensasarkan motosikal mempunyai tunggakan bayaran bulanan dengan pihak bank.

"Suspek akan bertindak menahan dan merampas motosikal dengan alasan motosikal tersebut mempunyai tunggakan bank," katanya.

Beliau berkata, selain itu, motosikal dicuri itu bergantung kepada tempahan dan permintaan jenis komponen.

"Kesemua motosikal yang telah dicuri dileraikan dan komponen terbabit dijual manakala rangka kenderaan itu pula akan dibuang ke dalam semak," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau.

Artikel Berkaitan:

"Mereka masih ditahan reman, kita sedang mengesan dua lagi individu bagi membantu siasatan kes," katanya.

Menurutnya, susulan daripada operasi yang dijalankan itu, Polis Sentul berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian yang dilaporkan, di mana sebanyak 14 kes di Kuala Lumpur dan satu kes di Selangor.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini diminta untuk menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!