Rogol remaja: Mahkamah arah dua lelaki jalani pemeriksaan psikiatri

Mahkamah mengarahkan kedua-dua tertuduh (kanan dan dua dari kanan) menjalani rawatan psikiatri sebelum sebutan semula kes pada 25 Februari depan.
Mahkamah mengarahkan kedua-dua tertuduh (kanan dan dua dari kanan) menjalani rawatan psikiatri sebelum sebutan semula kes pada 25 Februari depan.
A
A
A

KEMAMAN - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Sesyen Kemaman mengarahkan seorang buruh dan bapa tiri kepada remaja perempuan berusia 16 tahun yang didakwa merogol mangsa menjalani pemeriksaan psikiatri bermula Selasa.

Hakim Mahkamah Sesyen Kemaman, Wan Suhaila Mohd membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Arahan itu dikeluarkan selepas kedua-dua lelaki yang dituduh secara berasingan itu disyaki tidak sempurna akal dan tidak dapat memahami pertuduhan berkenaan.

Terdahulu, tertuduh berusia 18 tahun itu gagal menyebut nama penuhnya dengan tepat dan tidak tahu nombor kad pengenalan serta tarikh lahirnya ketika diminta berbuat demikian semasa prosiding pendakwaan.

Tertuduh (dua dan tiga dari kanan) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman pada Selasa.
Tertuduh (dua dan tiga dari kanan) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman pada Selasa.

Selain itu, tertuduh juga kelihatan seolah-olah tidak faham tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, suspek didakwa merogol remaja itu pada 13 Januari hingga 15 Januari lalu di sebuah rumah di daerah ini.

Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bapa tiri mangsa berusia 32 tahun turut didakwa kerana dipercayai bersubahat menyebabkan buruh itu merogol remaja itu kira-kira jam 2 pagi pada 13 Januari lalu.

Lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 376 (1) kanun yang sama yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan dengan sebatan.

Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh juga dilihat tidak dapat memahami pertuduhan sebenar yang disabitkan terhadapnya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 25 Februari depan bagi sebutan semula kes tersebut selepas menerima laporan pemeriksaan psikiatri oleh pihak hospital.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!