[VIDEO] Lebih 20 tahun terperap dalam rumah
PASIR PUTEH - Empat beradik dari Kampung Telaga Gayong dekat sini yang menghidap penyakit saraf hanya 'terperap' di dalam rumah apabila mereka hilang upaya untuk berdiri dan berjalan seperti manusia normal lain.
Keadaan itu menyebabkan empat beradik, Norhayati Hamid, 40, Muhammad Ridzuan,39, Nor Asiah, 30, dan Ahmad Sulaiman, 25, tidak mampu keluar dari rumah mereka lebih 20 tahun.
Bagaimanapun, keempat-empat beradik itu dilihat cukup 'tenang' mengharungi ujian dari Yang Maha Esa sambil ditemani ibu mereka, Sakinah Mat Noor, 62, dalam meneruskan kehidupan harian.
Tanpa berselindung, Nor Asiah yang masih mampu bertutur berkata, dia mula diserang penyakit saraf sejak di bangku sekolah menengah.
"Bermula dengan sakit-sakit badan dan akhirnya saya hilang upaya untuk berdiri seperti manusia normal yang lain.
"Begitu juga dengan kakak, abang dan adik. Mereka juga turut senasib dengan saya dan lebih menyedihkan lagi mereka sekarang tidak dapat bertutur dengan jelas," katanya.
Terdahulu Nor Asiah dan keluarga menerima kunjungan dari Kelab Sukarelawan Prihatin Kelantan (Volunteer i-Care) dan Komuniti Harapan Malaysia Zon 1 Limbongan.
Nor Asiah berkata, kakak sulungnya, Salina Hamid, 43, yang kini berada di Johor bersama suami turut diserang penyakit itu yang menyebabkan dia terlantar sakit dan tidak dapat bergerak seperti biasa.
"Mujurlah ada ibu, jika tiada apalah nasib kami berempat. Bila tengok ibu, kami jadi sedih kerana memikirkan dia yang terpaksa menjaga kami dari kecil sampai sekarang.
"Sepatutnya kami yang menjaga dia di usia tuanya tapi kami syukur sebab bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250," katanya.
Katanya, salah seorang adiknya Muhammad Juri, 37, yang bekerja sebagai jurukimpal turut membantu meringankan beban dengan menyara keluarga.
"Kudrat ibu sudah tidak segagah ketika usia muda untuk keluar menoreh getah," katanya.
Sementara itu, Sakinah berkata, dia reda menerima ujian tersebut dan akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dalam menjaga permata hatinya itu.
"Saya selalu berdoa supaya terus diberikan kesihatan yang baik dan umur yang panjang untuk menjaga mereka," katanya.
Bagaimanapun, orang ramai yang ingin membantu boleh buat demikian dengan menyalurkan wang ke akuan Bank Islam milik Sakinah Mat Noor, 03090020288836.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!