Bapa ugut guru ditahan, dakwa pukul anak merokok
Lelaki berusia 49 tahun itu ditahan kerana mengamuk susulan anaknya didakwa dipukul selepas didapati merokok di dalam tandas sekolah dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pengadu berusia 40 tahun yang juga guru sekolah tersebut telah dimaklumkan oleh pelajarnya bahawa terdapat pelajar lain merokok di dalam tandas.
"Pengadu kemudian terus ke tandas untuk membuat pemeriksaan dan terhidu bau asap rokok selain terdapat tiga pelajar berada di dalam tandas tersebut.
"Pengadu mahu membawa pelajar ke bilik dislipin tetapi pelajar tersebut bertindak agresif dan hasil pemeriksaan pada beg pelajar itu telah menemui satu kotak rokok," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah Mohd Zaidi lagi, tidak lama kemudian bapa pelajar tersebut telah datang ke sekolah dalam keadaan marah.
"Bapa pelajar tersebut mempersoalkan pengadu kenapa memukul anaknya namun pengadu telah menjelaskan bahawa dia menahan dan membuat pemeriksaan terhadap pelajar tersebut.
"Bagaimanapun, suspek tidak dapat menerima penjelasan tersebut dan terus memaki hamun serta mengamuk di dalam bangunan sekolah," katanya.
Sehubungan itu, suspek telah ditangkap dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
"Suspek telah mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap guru sekolah dan siasatan masih diteruskan," katanya.
Sebelum itu, tular satu video berdurasi satu minit 16 saat memaparkan insiden antara guru dan pelajar bertengkar dalam sebuah bangunan sekolah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!