Ibu tunggal trauma, along lontar bom petrol depan rumah

Pohlin (kanan) dan Zhi Li (tengah) menunjukkan salinan laporan polis selepas diugut along.
Pohlin (kanan) dan Zhi Li (tengah) menunjukkan salinan laporan polis selepas diugut along.
A
A
A
PONTIAN - Seorang ibu tunggal berdepan detik cemas selepas dua individu yang menaiki motosikal dipercayai along bertindak melontar bom petrol hingga berlaku kebakaran di hadapan rumahnya di Pekan Nanas di sini pada Jumaat.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Pohlin, 27, bersyukur kerana menyedari kejadian itu lebih awal selepas terlihat cahaya di luar rumah dan mendengar jeritan jiran memaklumkan ada kebakaran.

Pohlin (kanan) dan Zhi Li (tengah) mengadakan sidang akhbar di Pontian, pada Selasa.
Pohlin (kanan) dan Zhi Li (tengah) mengadakan sidang akhbar di Pontian, pada Selasa.



Dia yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta berkata, dia dan bapanya yang berada di dalam rumah terus berlari keluar sebelum bertindak memadamkan kebakaran bersebelahan pintu pagar rumah.

"Saya juga mendapati botol kaca yang pecah berbau petrol dipercayai bom petrol. Saya kemudian melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada jam 6.24 pagi, terdapat dua individu menaiki motosikal berhenti di hadapan rumah.

"Mereka kemudian menyimbah minyak serta menyalakan api serta baling ke dalam kawasan depan rumah. Malah mereka juga menyimbah cat merah, meninggalkan notis di atas tembok pagar rumah bertulis alamat, nama bekas suami saya dan meletakkan nombor telefon untuk dihubungi segera," katanya.



Pohlin berkata demikian dalam sidang akhbar ketika mengadu masalah berkenaan kepada Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Pemuda MCA, Heng Zhi Li di sini pada Selasa.

Dia percaya perbuatan tersebut adalah angkara along selepas bekas suaminya berhutang dengan ceti haram terbabit.

Pohlin berkata, sebelum kejadian dia pernah beberapa kali menerima amaran bagi melunaskan hutang bekas suaminya itu menerusi panggilan telefon sebelum membuat laporan di Balai Polis Pekan Nanas pada 9 dan 11 Disember 2023 dan 26 Januari lalu.

"Sebelum ini bekas suami pernah berhutang RM5,000 dengan ceti haram dan dia mendakwa sudah membayarnya namun saya pelik mengapa kami tetap diganggu. Kami bercerai beberapa bulan lalu dan saya tidak mahu menanggung masalah bekas suami.
Artikel Berkaitan:


"Saya memiliki seorang anak iaitu bayi lelaki berusia 10 bulan dan bapa berusia 60-an, saya tidak mampu tidur lena dan semakin bimbang dengan keselamatan mereka. Saya memikul tanggungjawab membesarkan anak dan menjaga bapa, diharap mereka tidak menganggu lagi," katanya.

Dia berharap polis menjalankan siasatan dan memberkas mereka yang melakukannya kerana perbuatan itu amat serius dan boleh meragut nyawa mereka yang tidak bersalah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superitenden Mohammad Shofee Tayib mengesahkan menerima laporan daripada mangsa dan siasatan sedang dilakukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!