Tiga maut nahas 7 kenderaan di Kuala Kangsar
KUALA KANGSAR - Tiga individu maut dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Kilometer 246.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Kuala Kangsar, malam ini.
Nahas berlaku kira-kira jam 10 malam melibatkan sebuah treler, empat kereta dan dua motosikal itu turut mengakibatkan sembilan mangsa cedera.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak berkata, panggilan mengenai kemalangan itu diterima pada jam 10.13 malam.
"Anggota bersama jentera FRT Kuala Kangsar yang tiba di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan tujuh kenderaan termasuk sebuah treler.
"Terdapat mangsa yang tersepit dan operasi menyelamat mangsa sedang dijalankan," katanya.
Menurutnya, operasi menyelamat dijalankan setakat ini berjaya mengeluarkan tiga mangsa yang kemudiannya disahkan meninggal dunia.
"Sementara sembilan mangsa pula mengalami kecederaan di lokasi kejadian," katanya.
Kejadian itu turut menyebabkan aliran trafik dari Kuala Kangsar ke Terowong Menora sesak sejauh 7km akibat lorong kiri dan kanan yang terhalang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!