Rakyat sedih lepaskan Al-Sultan Abdullah, teruja nantikan ketibaan Agong baharu

Orang ramai berbaris di sepanjang laluan di Jalan Parlimen bagi mengiringi keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah. Foto Bernama
Orang ramai berbaris di sepanjang laluan di Jalan Parlimen bagi mengiringi keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Demi kasihnya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Muhammad Reezuan Wahid sanggup meredah kedinginan pagi dari Melaka ke Jalan Parlimen di sini, semata-mata untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pasangan diraja itu.

Biarpun hanya menunggang motosikal dan perlu mengharungi perjalanan kira-kira 150 kilometer, keadaan itu tidak menghalang Muhammad Reezuan, 39, dari Banda Hilir, Melaka, untuk menyaksikan sendiri peristiwa bersejarah keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke Pahang.

Muhammad Reezuan antara ribuan rakyat yang setia menanti Seri Paduka berdua seawal 6.30 pagi, untuk menjadi sebahagian daripada pasukan pelambai di bahu laluan Jalan Parlimen sehingga Bulatan Dato’ Onn.

"Berat hati dan rasa sedih sebab kehilangan seorang Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri yang sangat prihatin kepada rakyat dan negara,” katanya yang menyanjungi kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah sepanjang tempoh lima tahun pemerintahan Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah juga, katanya telah menunjukkan kewibawaan serta kebijaksanaan sebagai payung negara dengan menyelesaikan banyak masalah termasuk kemelut politik demi menjaga kebajikan rakyat dan negara.

Bagaimanapun, pada masa sama, Muhammad Reezuan turut meluahkan rasa teruja untuk menyaksikan Istiadat Keberangkatan Tiba Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 bermula esok.

Suasana sepanjang jalan itu turut meriah dengan laungan "Daulat Tuanku” selain Jalur Gemilang dikibarkan bagi mengiringi keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

Nived Kollanthara dari Amerika Syarikat turut tidak melepaskan peluang bersama-sama orang ramai menyaksikan istiadat keberangkatan balik itu yang merupakan pengalaman baharu buat dirinya.

Artikel Berkaitan:

"Saya baru menyelami budaya negara ini dan ia amat hebat dari segi sejarah dan sebagainya, kemudian, saya dapat tahu istiadat ini berlangsung, jadi saya datang dan menyaksikan sendiri istiadat ini," kata pemuda berusia 27 tahun yang kini dalam lawatan kerja di negara ini.

Sementara itu, di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, dua pelajar pelajar Politeknik Nilai, Muhammad Adam Mohd Hairi, 20, dan Nur Azmina Qistina Mat Rashid, 21, turut sayu dengan keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

"Peluang untuk menghantar dan bersemuka dengan Seri Paduka berdua hari ini mungkin sekali seumur hidup tetapi saya berharap dapat sekali lagi bertemu dan bersalam dengan Tuanku. Kemesraan dan kebaikan yang ditunjukkan Al-Sultan Abdullah terus menjadi kenangan manis untuk rakyat,” kata mereka.

Muhammad Adam yang juga pelajar Diploma Teknologi Hortikultur dan Landskap berkata, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah akan sentiasa dikenang sebagai raja di hati rakyat.

Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019, menamatkan tempoh pemerintahan hari ini dan digantikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!