Qatar B-23 2024: Harimau Muda kena ambil semangat Harimau Malaya
SKUAD bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara perlu menjadikan sasaran mara ke separuh akhir yang diletakkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Piala Asia B-23 2024 di Doha, Qatar sebagai satu cabaran.
Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, tiada yang mustahil buat Harimau Muda biarpun laluan untuk melepasi peringkat kumpulan juga penuh berliku.
Malah, beliau percaya skuad muda negara perlu mengambil semangat yang ditunjukkan oleh skuad senior negara di pentas Piala Asia baru-baru ini.
"Sudah tentu ia menjadi tugas berat buat skuad B-23 jika dilihat kepada pertembungan dalam peringkat kumpulan kerana kita akan berdepan pasukan seperti Uzbekistan dan Kuwait. Ia tidak mudah.
"Namun, dengan motivasi sebelum ini terutama melihat semangat pasukan senior di Piala Asia baru-baru ini, saya percaya kita mampu melakar kejutan," katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, FAM meletakkan sasaran untuk Harimau Muda mara ke separuh akhir kejohanan tertinggi Asia itu sekali gus bakal memastikan dapat merebut tiket ke Sukan Olimpik Paris Julai depan.
Pada Piala Asia yang akan berlangsung pada April depan, skuad muda negara diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Kuwait dan Vietnam.
Sebagai rekod tiga pasukan terbaik automatik mewakili Asia, manakala satu lagi pasukan akan mengharungi saingan playoff menentang Guinea dari benua Afrika.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!