Isu kain rentang tiada air: Ini jawapan UMS

Kain rentang yang digantung pada jejambat berhampiran UMS berhubung isu air di universiti itu jelas dilihat oleh pengguna jalan raya Sepanggar-Alamesra-UMS.
Kain rentang yang digantung pada jejambat berhampiran UMS berhubung isu air di universiti itu jelas dilihat oleh pengguna jalan raya Sepanggar-Alamesra-UMS.
A
A
A

KOTA KINABALU - Proses penggerudian telaga tiub untuk mendapatkan sumber air bawah tanah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang dilaksanakan ketika ini sebagai langkah jangka pendek menyelesaikan isu air yang melanda di universiti tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud di mana projek itu dijangka akan dapat disiapkan pada hujung Mac ini.

"Sekarang dalam proses penggerudian untuk empat telaga tiub yang telah dikenal pasti di empat lokasi di UMS.

"Kalau ikut tempoh kontrak pada hujung Mac (disiapkan), maknanya sumber air boleh diperoleh pada waktu ia disiapkan.

"Jadi kita sedang mengejar (tempoh projek) supaya kita dapat memastikan isu-isu yang dikemukakan pelajar ini dapat diselesaikan," katanya baru-baru ini.

Kain rentang yang digantung pada jejambat berhampiran UMS berhubung isu air di universiti itu jelas dilihat oleh pengguna jalan raya Sepanggar-Alamesra-UMS.
Kain rentang yang digantung pada jejambat berhampiran UMS berhubung isu air di universiti itu jelas dilihat oleh pengguna jalan raya Sepanggar-Alamesra-UMS.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu dengan tegasnya turut mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood @ Johan Mahmood Merican menyediakan laporan terperinci berhubung kemajuan projek penyelesaian masalah gangguan bekalan air di UMS.

Laporan itu susulan peruntukan RM3 juta telah diluluskan kepada UMS sewaktu kunjungan Anwar ke Sabah tahun lalu namun isu air masih belum diselesaikan sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

Jawapan Mustapha yang juga sebagai Ahli Parlimen Sepanggar dan ketegasan Perdana Menteri dalam menyelesaikan isu air di UMS sekali gus menjawab persoalan orang ramai yang prihatin dengan isu air yang dihadapi penuntut di universiti tersebut.

Seorang pengguna jalan raya Sepanggar-Alamesra-UMS baru-baru ini melahirkan perasaan simpati kepada penuntut di UMS selepas terlihat kain rentang berkaitan isu air yang digantung pada jejambat berhampiran universiti tersebut.

"Kenyataan kain rentang tersebut 'UMS mana air' terpampang bertentangan laluan saya memandu dan dapat dibaca dengan jelas.

"Saya berpandangan krisis air di UMS sangat kritikal sekarang sehingga ada pihak yang sanggup menggantung kain rentang tersebut untuk mendapat perhatian ramai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!