Klinsmann lega berjaya tundukkan Arab Saudi
KOREA Selatan bangkit untuk menewaskan Arab Saudi 4-2 menerusi sepakan penalti pada Rabu dan menyertai Uzbekistan untuk mara ke suku akhir Piala Asia.
Korea Selatan akan menentang Australia dalam pusingan lapan pasukan terbaik manakala Uzbekistan menentang tuan rumah dan penyandang juara, Qatar selepas pasukan itu menewaskan Thailand 2-1.
Penjaga gol pilihan kedua, Jo Hyeon-woo muncul wira untuk Korea Selatan di Doha, menyelamatkan penalti daripada Sami Al-Najei dan Abdulrahman Ghareeb dalam penentuan sepakan penalti.
Selepas perlawanan sengit berakhir 1-1, Hwang Hee-chan menjaringkan penalti penentu untuk pasukan Jurgen Klinsmann, yang menyasarkan untuk menamatkan kemarau kejuaraan Piala Asia selama 64 tahun untuk Korea Selatan.
“Saya rasa kemenangan ini memberikan semangat cukup baik buat pasukan,” kata Klinsmann yang berdepan kritikan hebat di Korea Selatan berikutan keputusan seri dengan Jordan dan Malaysia dalam peringkat kumpulan.
"Ia memberikan lebih semangat kepada pasukan. Saya gembira dengan pemain kerana mereka sentiasa berusaha," katanya.
Dalam aksi di hadapan 40,000 penonton di Stadium Education City, Abdullah Radif membuka jaringan untuk Saudi 33 saat selepas masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
Korea Selatan mempunyai beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan tetapi hanya mampu mencetak gol melalui Cho Gue-sung muncul pada minit ke-99 untuk menyelamatkan pasukannya dan mengheret perlawnaan ke masa tambahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!