Mancini minta maaf keluar terowong sebelum tamat sepakan penalti
ROBERTO Mancini mengakui tiada niat untuk bersikap biadab selepas berjalan keluar dari terowong sebelum Korea Selatan mengambil sepakan penalti yang menyingkirkan pasukan kendaliannya, Arab Saudi daripada Piala Asia pada Rabu.
Mancini berjalan kembali ke bilik persalinan di Stadium Education City selepas Abdulrahman Ghareeb terlepas sepakan penalti kedua Saudi.
Penyerang Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee-chan tidak mensia-siakannya untuk menghantar Korea Selatan ke suku akhir menentang Australia, sekali gus menyingkirkan pasukan Mancini pada pusingan 16 terakhir.
"Saya tidak berniat untuk tidak menghormati sesiapa.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemain saya atas apa yang mereka lakukan. Mereka telah menunjukkan persembahan yang baik," katanya.
Penjaga gol pilihan kedua, Jo Hyeon-woo muncul wira Korea Selatan dalam penentuan sepakan itu untuk memberikan pasukannya kemenangan 4-2 menerusi sepakan penalti, selepas seri 1-1 pada penghujung masa tambahan.
Cho Gue-sung menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-99 pada masa biasa untuk memaksa perlawanan ke masa tambahan, selepas Abdullah Radif membuka jaringan untuk Saudi 33 saat selepas masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.
"Saya sangat gembira, saya sangat sedih. Saya sangat gembira kerana kami banyak meningkat. Kami bekerja selama sebulan bersama-sama dan ini sangat penting.
"Kini kami adalah satu pasukan. Jelas sekali kami perlu terus menambah baik prestasi kami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!