'Soalan peperiksaan guna nama Zakir Naik tidak salah'

Soalan peperiksaan yang tular.
Soalan peperiksaan yang tular.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak yang mencetuskan kontroversi sehingga mewujudkan provokasi terhadap isu soalan Kursus Hubungan Etnik (UUW235) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) disaran untuk 'belajar' terlebih dahulu.

Pensyarah Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, garis panduan dan tata cara menyediakan soalan objektif serta soalan esei juga perlu dirujuk dan bukannya terus menjatuhkan hukum.

Menurutnya, sebarang bentuk provokasi yang hanya akan menimbulkan ketegangan kaum wajar dihentikan segera.

"Soalan itu dalam lingkungan subjek dan tak ada unsur-unsur menghina, jadi tiada masalah. Kalau dilihat dengan hati yang terbuka pada saya ia tak ada masalah.

"Pihak yang cuba menimbulkan masalah ini sebab mereka cuba nak menangguk di air yang keruh. Pada saya mereka sengaja nak memperbesarkan isu untuk mendapatkan 'mileage' politik dan memburuk-memburukkan keadaan.

"Saya fikir hentikanlah perkara ini. Kalau nak siasat, pergilah ke sekolah persendirian Cina yang cikgunya kadang-kadang menimbulkan isu-isu yang sangat sensitif ketika mengajar tapi kita tak ambil cakna pun," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, soalan yang mengaitkan pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik tidak wajar menjadi asas ketakutan bukan Islam.

Artikel Berkaitan:

Dr Zakir Naik. - Foto Rosli Talib
Dr Zakir Naik. - Foto Rosli Talib

Ridhuan Tee berkata, walaupun nama Dr Zakir tiada dalam buku teks, namun namanya tidak menjadi kesalahan untuk dijadikan soalan kerana individu tersebut telah menjadi perbincangan hangat dalam dunia akademik dan orang awam.

"Jika begitu keadaannya, adakah salah guna nama Dr Zakir dalam soalan peperiksaan? Jawapan mudah, tidak salah.

"Bagaimana dengan komunis? Kejam dan sangat berbahaya, adakah soalan pasal komunis tidak boleh dijadikan soalan esei atau MCQ?

"Antara Dr Zakir dgn komunis, mana lebih bahaya? Sudah tentu komunis. Sebab itu, pada saya, soalan tentang DrZakir adalah isu tersangat kecil," katanya.

Pada Sabtu lalu, UniMAP menjelaskan soalan Kursus Hubungan Etnik (UUW235) yang menjadi kontroversi baru-baru ini adalah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata, UniMAP menjalankan siasatan terperinci menerusi satu jawatankuasa dianggotai oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Penasihat Undang-Undang, Pendaftar, Dekan Pusat Pengajian dan Dekan Pengurusan Akademik.

Katanya, berdasarkan siasatan terperinci yang dijalankan, panel penilai soalan yang dilantik oleh UniMAP terdiri daripada pelbagai bidang akademik dan kaum malah kesemua soalan dalam kertas peperiksaan adalah selari dengan tajuk 'Cabaran-cabaran Hubungan Etnik dan Isu-Isu Semasa'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!