Kes pelancong bayar RM100 elak disaman: Polis Kedah kesan saksi, suspek
ALOR SETAR - Polis sedang giat mengesan saksi-saksi terlibat dalam kes video tular anggota polis disyaki melakukan pemerasan dan menerima suapan di Pulau Langkawi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, ia bagi membantu siasatan selain untuk mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, satu laporan polis telah diterima berkaitan video tular tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
“Suspek akan dikenal pasti untuk tindakan lanjut. Usaha mengesan saksi-saksi terlibat juga sedang dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Rabu.
Sejak Isnin, tular rakaman video berdurasi 1 minit 44 saat di aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki dan seorang perempuan disyaki pelancong asing ditahan oleh penguat kuasa disyaki anggota polis atas kesalahan lalu lintas kerana tidak memakai topi keledar di Pulau Langkawi.
Dalam rakaman tersebut, terdapat audio perbualan antara pelancong tersebut dan penguat kuasa di mana pelancong asing tersebut ditawarkan untuk membayar saman sebanyak RM100 tanpa resit di tempat ditahan.
Dalam pada itu, Fisol tegaskan, pihaknya sentiasa peka dan mengambil berat tentang sebarang salah laku anggota dan pegawai polis selain sentiasa bersikap profesional dalam memastikan ketelusan tindakan dalam menguatkuasakan undang-undang.
“Saya harap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini kerana ia boleh menganggu siasatan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, orang ramai juga diminta bersama-sama membantu polis membanteras dan mencegah jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat melalui talian MERS 999 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!