Sultan Ibrahim akan bawa kestabilan, kemakmuran
JOHOR BAHRU - Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim menerajui Johor dengan memacu pelbagai agenda pembangunan dan perpaduan diyakini akan diteruskan untuk rakyat Malaysia sepanjang tempoh pemerintahan baginda.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, Sultan Ibrahim akan memberikan nasihat kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menguruskan negara dan bertindak membanteras rasuah.
"Sebagai rakyat Johor, saya berbangga Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Rabu. Sultan Ibrahim mampu menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Perpaduan cukup penting untuk ekonomi dan menarik pelabur.
"Sultan Ibrahim juga akan memberikan peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk mengambil tindakan dan membanteras rasuah yang turut menjadi visi dan misi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya ketika ditemui di Kampung Pasir pada pagi Rabu.
Sebelum itu, Aminolhuda yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara ( Amanah) Johor bersama ratusan rakyat menunggu di Jalan Skudai berhadapan Kampung Pasir menunggu dan melambai rombongan diraja ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Ahli Parlimen Sri Gading itu menambah, pemimpin luar negara dan masyarakat antarabangsa juga akan terus mengeratkan hubungan diplomatik dengan Malaysia di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.
"Bukan sahaja Bangsa Johor bahkan seluruh rakyat Malaysia menantikan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong. Baginda senantiasa mempunyai pandangan jauh dan akan memberi nasihat untuk kemajuan negara.
"Saya harap baginda akan terus memimpin dengan kebijaksanaan dan membawa kemajuan kepada semua rakyat," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon, percaya Sultan Ibrahim akan membawa kestabilan untuk negara.
Tian Soon yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor juga optimis Sultan Ibrahim akan memperkukuhkan hubungan membawa hala tuju negara yang jelas khususnya sektor ekonomi negara.
"Hubungan diplomatik yang baik antara Yang di-Pertuan Agong dan negara luar diyakini akan membawa masuk lebih banyak pelaburan ke negara ini sekali gus membawa kemakmuran kepada negara dan rakyat," katanya.
Sultan Ibrahim akan mula bersemayam di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Rabu bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun.
Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang menamatkan tempoh pemerintahan baginda pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!