Tempoh reman sarjan didakwa rogol pelajar disambung sehari lagi

Tempoh reman dilanjutkan sehari lagi bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap lelaki berusia 42 tahun itu dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Tempoh reman dilanjutkan sehari lagi bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap lelaki berusia 42 tahun itu dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
A
A
A

PARIT - Tempoh reman anggota polis berpangkat sarjan yang disyaki merogol seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat, disambung sehari lagi.

Perintah lanjutan reman sehingga Khamis itu dikeluarkan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin di Mahkamah Majistret Parit di sini pada Rabu.

Reman tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap lelaki berusia 42 tahun itu dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Anggota berkenaan yang dibawa sepasukan polis tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.50 pagi dengan berpakaian biasa.

Pada 28 Januari lalu, anggota polis yang bertugas sebagai timbalan ketua balai itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dan direman sehingga Rabu.

Minggu lalu Sinar Harian melaporkan, seorang pelajar berusia 16 tahun mendakwa dirinya dirogol anggota polis berpangkat sarjan di kawasan parkir di sebuah pasar raya di daerah Perak Tengah dalam kejadian tahun lalu.

Difahamkan, suspek melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa sebanyak dua kali iaitu pada Julai dan Oktober 2023.

Perbuatan suspek itu terbongkar selepas mangsa yang masih bersekolah itu memaklumkan kejadian kepada ibunya sebelum satu laporan polis dibuat pada 20 Januari lepas.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!