19 maut nahas bas, treler di utara Mexico
MEXICO CITY - Sekurang-kurangnya 19 orang maut dalam kemalangan melibatkan bas penumpang dua tingkat dan treler di Lebuhraya Mazatlan-Culiacan di utara Mexico pada awal Selasa, lapor Xinhua.
Menerusi hantaran di X, Peguam Negara bagi negeri Sinaloa, Sara Bruna Quinonez Estrada, berkata, berdasarkan maklumat operasi menyelamat di lokasi, setakat ini sebanyak 19 mayat direkodkan dalam nahas di kawasan perbandaran Elota itu.
"Kami masih tidak mempunyai jumlah sebenar penumpang bas, kami sedang dalam proses membandingkannya dengan senarai syarikat bas," katanya.
Menurut beliau, bas itu terbakar akibat impak kemalangan dan mayat mangsa yang rentung sukar dikenal pasti. Proses untuk mengesahkan identiti mangsa akan mengambil masa.
Dalam satu kenyataan, kerajaan negeri Sinaloa berkata, bas itu dalam perjalanan antara Guadalajara dan Los Mochis apabila kemalangan berlaku pada 5.15 pagi waktu tempatan.
Menurut media tempatan, punca nahas itu masih disiasat. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!